Nasionalpilihan

Kedah jadi ‘sarang’ Covid-19, satu lagi kluster muncul

SELEPAS muncul kluster Sivagangga ekoran sikap pemilik sebuah restoran nasi kandar di Napoh, Kedah seolah-oleh menjadi ‘sarang’ kepada pandemik Covid-19.

Selepas kluster Sivagangga, muncul kluster Tawar, kemudian diikuti pula dengan kluster Muda.

Hari ini muncul satu lagi kluster Covid-19 di negeri jelapang padi itu, iaitu kluster baharu dikenali sebagai Kluster Sala.

Ia dikesan di daerah Yan, Kedah melibatkan seorang lelaki warganegara sebagai kes pertama kluster tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berkenaan (kes ke-9148) dikesan positif pada 13 Ogos, melalui sistem survelan klinikal Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan pada 14 Ogos dan kes dikesan positif pada 15 Ogos. Ketiga-tiga kes dilaporkan hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9148),” katanya dalam kenyataan akhbar perkembangan COVID-19 hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga hari ini, 79 kontak rapat kes pertama kluster tersebut disaring dan daripada jumlah itu tiga kes dikesan positif dan 76 individu masih menunggu keputusan.

Semua kes bagi kluster itu katanya, melibatkan warganegara Malaysia dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

Pada masa sama katanya, kluster Tawar juga masih belum reda dengan terdapat 12 kes baharu dilaporkan hari ini iaitu 10 kes di Kedah dan dua kes di Pulau Pinang.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 bagi kluster berkenaan sebanyak 33 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 657 individu disaring dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai kluster Muda di Kedah, beliau berkata terdapat satu kes baharu dilaporkan hari ini.

“Sehingga 12 tengah hari ini, 133 individu disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, tiga kes dikesan positif COVID-19, 27 individu negatif dan baki 103 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – SM

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button