fbpx
Nasional

Rumah Exco Perak didakwa merogol dipecah masuk

IPOH – Rumah Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang kini sedang menghadapi perbicaraan kes merogol amah dipecah masuk.

Sebuah peti keselamatan dilaporkan hilang dalam kejadian yang berlaku di rumahnya yang terletak di Meru Desa Park di Bandar Meru Raya itu

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, ADUN Tronoh itu hanya menyedari kejadian berlaku pada Ahad lalu setelah mendapati pintu belakang rumahnya dalam keadaan terbuka dengan grill tingkap juga telah dipotong.

Perak Gazzette melaporkan, keadaan dalam rumah tersebut juga berselerak dan laci-laci di bilik serta ruang tamu terbuka.

“Tempat kejadian adalah rumah lot hujung jenis teres dua tingkat, berpagar dan terdapat pengawal keselamatan 24 jam di pintu masuk.


“Rumah pengadu mempunyai empat bilik tidur dan setiap bilik telah digeledah oleh suspek namun kediaman itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Menurut Anuar, pemeriksaan di kediaman tersebut mendapati terdapat kesan pecah masuk melalui grill tingkap belakang dapur yang dipotong dan tingkap diumpil.

Beliau berkata, rumah ADUN tersebut dan jiran di belakang rumahnya tidak mempunyai CCTV selain beberapa rumah lain di barisan sama juga tidak berpenghuni.

“Pengadu mengesyaki orang yang masuk ke dalam rumahnya itu mencari sesuatu selain mendakwa satu peti keselamatan yang mengandungi dokumen tidak pasti telah hilang.

“Pemeriksaan Unit Forensik di lokasi kejadian berjaya menimbulkan empat kesan cap jari. Siasatan lanjut kes ini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan Choo Kiong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru itu sudah tiga bulan tidak tinggal di rumah berkenaan.

Beliau bersama keluarga tinggal di tempat lain kerana mahukan privasi berikutan kes perbicaraan rogol yang dihadapi.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 49, mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu.

Kes berkenaan akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Ipoh, esok.

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button