fbpx
Uncategorized

Bodoh dan korang: Mudahnya diucapkan dalam program siaran langsung

KUALA LUMPUR – Peranan stesyen penyiaran samada televisyen (TV) ataupun radio bukan sekadar medium penyampai maklumat.

Peranan kedua-dua medium penyiaran tersebut sebenarnya turut mencakupi fungsi mendidik khalayak penonton dan pendengar.

Biar sekalipun konsep atau programnya berbentuk hiburan namun apabila sesebuah program itu disiarkan secara langsung, baik penyampai radio ataupun pengkritik yang dipertanggungjawabkan, haruslah berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan atau istilah yang sebenarnya kasar apabila ditutur.

Sama sahaja apabila medium penulisan perlu berhati-hati dalam menggunakan istilah bodoh. Pasti dihentam oleh khalayak pembaca.

Akan tetapi penggunaan istilah korang digunapakai secara berleluasa khususnya oleh penyampai radio.


Sedangkan istilah itu sebenarnya kasar dan kesat. Sepatutnya ganti nama yang perlu digunakan oleh penyampai radio ialah anda atau kamu. Nak nampak lebih santai katanya. Itulah antara faktor istilah korang ditutur.

Adap percakapan perlu ada dan dijaga kerana pendengar radio juga dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Bayangkan anak-anak bercakap dengan mak bapa menggunakan istilah korang. Maniskah didengar? Bersopankah?

Anak-anak menggunakan istilah korang kerana terikut-ikut dengan apa yang mereka dengar. Kesannya, korang dituturkan tanpa ada rasa kurang sopan.

Penyampai radio zaman sebelum alaf baharu tidak menggunakan istilah korang ketika bersiaran secara langsung atau live on air.

Tetapi hari ini, mana-mana stesyen radio berbahasa Melayu, penyampainya menggunakan istilah itu.

Wabak penggunaan istilah korang turut berjangkit kepada pengacara program hiburan televisyen.

Sakit telinga mendengarnya tetapi justifikasi mereka yang mempertahankan penggunaan istilah korang ini ialah jurang generasi.

Generasi tua sahaja yang tak boleh terima istilah korang tetapi Gen Y Gen Z dan gen-gen muda merasakan tak salah menggunakan istilah tersebut.

Tidak berhenti di istilah korang, ucapan bodoh senang-senang dituturkan ketika siaran langsung program hiburan di kaca televisyen.

Tiada langsungkah individu yang berani melarang pengucapan kata-kata bodoh ketika siaran langsung?

Hati-hatilah kerana medium penyiaran ada peranan mendidik anak-anak muda supaya menjadi generasi yang bersopan santun.

Umpama peribahasa Melayu, terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya.

Kenapa? Kerana audiens anda cepat terpengaruh dan menjadi ikutan dalam pertuturan. – SM

Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button