KesihatanNasionalParlimen

Radzi Jidin bidas usul Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin

USUL Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 yang menyangkal gambaran bahawa perolehan vaksin tidak dibawa ke Jabatan Peguam Negara (AGC) dibidas oleh Ahli Parlimen (PN-Putrajaya), Datuk Dr Radzi Jidin di Parlimen, hari ini.

Radzi, bekas Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) dan juga bekas Menteri Pendidikan turut membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata, usul yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni pada Khamis lalu menyatakan bahawa perkara itu telah dibawa ke Peguam Negara.

“Jadi siapa nak minta maaf ini?” kata Radzi di Dewan Rakyat meminta kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Rasa sedih pegawai-pegawai kesihatan berjumpa menceritakan apabila selesai pandemik, macam-macam disiasat seolah-olah kami membuat salah,” kata Radzi lagi.

Pada Februari lepas, Perdana Menteri Anwar ketika mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin berkata, ada perkara yang tidak mengikut peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan AGC.

Susulan penafian daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Anwar memaklumkan dakwaan itu dimaklumkan sendiri oleh pihak KKM.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni

Dalam usul yang dibentangkan pada Khamis lalu, Lukanisman mencadangkan kepada Dewan Rakyat untuk menerima bahawa perjanjian yang ditandatangani telah melalui proses semakan dan nasihat daripada AGC.

Semakan dan nasihat itu bagi memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh mengikut tatacara operasi standard perolehan vaksin Covid-19.

Usul itu juga menyatakan bahawa “pada saat genting tersebut”, jemaah Menteri bersetuju agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada ketika itu diberi kuasa untuk berunding, menandatangani perjanjian pembelian serta membuat perolehan vaksin tanpa perlu merujuk kepadanya atau Kementerian Kesihatan untuk kelulusan.

Kuasa itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu terdapat wakil KKM dalam rundingan perolehan vaksin dan urusan tandatangan kontrak mewakili kerajaan tertakluk kepada Akta Kontrak Kerajaan. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button