Celoteh

Kau bergurau ke menyindir?

Oleh Norliza Abd. Rahman

NIAT hati nak bergurau tapi lain pula jadinya. Begitulah yang selalu terjadi dalam kehidupan kita seharian. Bukan sahaja dalam kalangan jiran tetangga, rakan sepejabat dan adik beradik waima pasangan suami isteri juga boleh berlaku perkara yang tak diingini.

Puncanya satu pihak menganggap apa yang dikatakan hanya gurauan semata-mata namun sebelah pihak lagi rasa tersindir dan tersentap dengan apa yang dikatakan. Masalah komunikasi biasalah kat mana-mana pun memang akan berlaku.

Bila berlaku perkara macam ni dah tentu hubungan akan menjadi regang, bermasam muka, sindir menyindir dan paling tak menahan pihak yang tak puashati akan bawa geng untuk mengecam pihak satu lagi. Ala-ala membawang gitu.

Alah benda boleh bawa bincang kenapa nak gaduh, lek-lek sudahlah… Yalah cakap senanglah kau tak kena mana kau tau rasa sakit hati tu. Begitulah kata seorang teman bila Mak Teh suruh dia lupakan perkara yang sudah bikin hatinya panas menggelegak.

Ceritanya dia buat satu hantaran di media sosial mengenai kuih yang dia masak. Mak Teh pun ‘like’ ‘posting’ dia sebab anggap ia perkara biasa yang sudah menjadi amalan kawan-kawan untuk berkongsi apa sahaja di media sosial.

Dalam banyak-banyak komen tu, ada kenalannya sudah cakap ‘kalau macam ni boleh buka kedai’. ‘Alah takat masak macam ni anak aku pun reti’. ‘Cekodok pisang pun nak tayang ke?’

Bagi jenis yang tak kisah apa orang cakap kata-kata sedemikian tak memberi kesan pun dan anggap komen tu sebagai angin lalu. Lantak kaulah nak cakap apa, kau pun lom tentu pandai nak lenyek pisang dan digaulkan bersama tepung gandum, gula, garam, air, serbuk penaik dan menjadi bulat-bulat bila digoreng dalam minyak panas.

Lagipun yang tukang komen tu pun lom tentu kenal pisang apa yang sesuai nak dibuat cekodok, nak letak tepung banyak mana pun tah tahu tah tidak, cair pekat tepung tu pun tah lulus tah tidak. Rupa cekodok pisang tu pun tah bulat ke leper macam lempeng.

Tapi kawan Mak Teh sudah terasa hati, dia bengang betul dengan komen tersebut dan anggap kawannya sengaja nak malukan dia. Hidangan petang air tangannya disindir sampai boleh buka kedai makan, disamakan dengan masakan budak sekolah rendah dan takat cekodok pun nak ‘post’ kat Facebook.

Niat kawan tu mungkin nak bergurau tapi mungkin juga nak menyindir. Susah nak nilai apa niat komen tu dibuat. Mak Teh cuma mampu suruh dia sabau banyak-banyak dan anggap aje lah kata-kata tu sekadar kata-kata dari orang yang suka berkata-kata walaupun kata-kata itu tidak membawa sebarang manfaat. Harap fahamlah ya maksud Mak Teh ni.

Nasihat Mak Teh pada kawan tu, pedulikan komen tersebut anggap sajalah itu cara rakannya hendak bermesra. Komunikasi ni agak subjektif dan sukar untuk kita ramal maksud yang tersurat dan tersirat. Kita anggap lain tapi hakikatnya ia membawa maksud lain. Jadi sentiasalah berusaha untuk bersikap positif.

Mak Teh pun selalu je terima komen pelbagai dalam ‘posting’ Mak Teh. Kadang-kadang terfikir juga apa kedarah dia komen macam ni. Tapi Mak Teh anggap ia sebagai hiburan semata-mata. Nak amik hati pun tak guna bukan dapat hadiah pun.

Bila kita positif secara tak langsung ia membuatkan jiwa kita tenang dan bersikap lebih terbuka. Alah biasalah, komen kita kat kawan-kawan pun belum tentu semua orang boleh terima.

Minggu ni Mak Teh nak kongsi resipi agar-agar bunga telang bersantan. Masih bunga telang? Ya sebab Mak Teh suka.

Bahan-bahannya

1 peket agar-agar
2 cawan gula
1 liter air bunga telang
1 biji telur
1 kotak santan kecil
400 ml air
Secubit garam

Cara-caranya

Rebus agar-agar bersama 400 ml air sehingga hancur. Masukkan gula dan air bunga telang. Biarkan hingga gula larut. Masukkan santan, telur dan secubit garam yang sudah dipukul sebati. Besarkan api dan biarkan sehingga mendidih. Bila hampir membuak tutup api. Kacau selalu supaya dapat menghasilkan lapisan santan yang cantik. Masukkan dalam bekas dan sejukkan. – SM

(Visited 978 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button