fbpx
Politik

Kambing berbelang harimau Bersatu

ORANG politik khususnya di dalam kerajaan Perikatan Nasional atau lebih tepat Bersatu tidak boleh tidur, siang ataupun malam.

Jika mereka pejam dan buka semula mata sahaja, kerajaan tiba-tiba sahaja boleh bertukar.

Apabila Utusan Malaysia menyiarkan berita utama Muhyiddin tidak terjejas, itu bermakna Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang terjejas teruk.

Di Johor negeri Muhyhiddin sendiri pemimpin Bersatu masih lagi menyokong kerajaan dan tidak melompat ke Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya kerana takut kepada titah Sultan Johor yang akan membubarkan dewan jika mereka berbuat sedemikian.

Selepas melalui ujian pertama dengan kelebihan sokongan satu undi ketika menukar yang dipertua dan timbalan Dewan Rakyat, Muhyiddin hanya menang kelebihan lima undi ketika rang undang-undang perbekalan diluluskan.


Isnin ini Muhyiddin berdepan satu lagi cabaran untuk meluluskan rang undang-undang bagi perbelanjaan menangani Covid-19.

Jika usul ini gagal, beliau tidak mempunyai pilihan selain daripada membubarkan parlimen.

Kemungkinan usul ini tidak lulus adalah tinggi, selain di pihak pembangkang, di dalam kerajaan ramai pemimpin parti dari UMNO contohnya lebih memilih parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

Contohnya Tengku Razaleigh Hamzah tidak hadir semasa pengundian dibuat.

Beliau antara yang bersuara sebelum ini mahukan pilihan raya diadakan bagi membolehkan mandat sebenarnya diberikan oleh rakyat.

Kerajaan yang ada hari ini adalah lebih kepada kerajaan sementara setelah Pakatan Harapan runtuh setelah Bersatu keluar daripada komponen kerajaan.

Pada masa ini Sabah telah membubarkan dewan bagi mengelakkan Musa Aman daripada kembali berkuasa setelah mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Jika parlimen dibubarkan kemungkinan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri diadakan serentak adalah tinggi.

Ini adalah kerana selama ini Sabah tidak pernah mengadakan pilihan raya berasingan.

Jadi alang-alang pilihan raya negeri berlangsung di Sabah, lebih wajar disekalikan dengan pilihan raya umum ini termasuk Sarawak.

Bagaimanapun jika kerajaan mendapat sokongan walaupun kelebihan satu undi, diyakini Muhyiddin tidak akan membubarkan parlimen, walaupun terpaksa Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan ibarat Telur di hujung tanduk.

Jika berjaya melepas halangan pilihan raya negeri, beliau perlu melalui satu lagi halangan iaitu meluluskan bajet yang sepatutnya dibentangkan pada Oktober ini.

Halangan di depan ketika ini adalah persidangan parti Bersatu yang menyaksikan beberapa bahagian dan cawangan di Selangor tidak dapat dijalankan kerana tidak cukup korum sehingga terpaksa diwujudkan jawatankuasa penaja yang baharu, setelah para pemimpin dan ahlinya melompat ke Parti Pejuang yang baru ditubuhkan oleh Dr. Mahathir.

Pejuang walaupun apabila ditubuhkan ditertawakan tetapi memperolehi momentum apabila di Johor sahaja dianggarkan 30 peratus ahli Bersatu telah menyertai parti itu.

BACA> Muafakat Nasional: Bersatu jangan tak terdakap tangan…

Pejuang semakin mendapat perhatian apabila parti itu satu-satu pembangkang yang bertanding di pilihan raya kecil Slim yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional, walaupun mereka terpaksa meletakkan calon Bebas kerana Pejuang belum didaftarkan lagi.

Setakat ini yang konsisten menyokong Muhyiddin hanya Pas. UMNO kelihatan masih tidak dapat menerima para pemimpin Bersatu khususnya yang melompat dari UMNO.

Ia jelas apabila Tok Mat atau Datuk Seri Mohamad Hasan iaitu Timbalan Presiden UMNO menyatakan akar umbi parti itu menolak Bersatu.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula selaku Presiden UMNO meletakkan syarat supaya Bersatu mendapatkan kembali 6,000 undi di PRK Slim sebagai bukti mereka mempunyai sokongan akar umbi dan berbaloi diterima di dalam Muafakat Nasional.

Kadang kala melihat situasi ini teringat pepatah Melayu menyatakan Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.

Masalahnya Bersatu sebelum ini menyangkakan mereka harimau dan telah mengaum sesuka hati, tanpa mereka sedari mereka adalah kambing korban.

Dengan meruntuhkan kerajaan PH dan bergabung dengan MN, tidak bermakna mereka adalah harimau dan boleh mengaum melaungkan mahukan kerusi yang lebih di PRN Sabah iaitu 45 kerusi, mahukan kerusi yang lebih pada pilihan raya umum.

Walaupun Bersatu cuba memakai belang harimau, tetapi ia tetap dikorbankan kerana Pas dan UMNO adalah harimau yang sebenarnya.

 

 

(Visited 5 times, 3 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button