Nasional

JKR patut terus kendalikan projek-projek kecil

BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Roslan Taha berkata, beliau tidak setuju dengan keputusan kerajaan membenarkan agensi kerajaan lain dan pejabat daerah mengendalikan projek prasarana kecil.

Beliau berkata, kepakaran teknikal JKR dalam kerja pembaikan diiktiraf badan persekutuan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Jabatan Audit Negara.

Katanya, badan dan agensi kerajaan lain mungkin tidak mempunyai kemahiran sama untuk melaksanakan kerja itu.

“Mereka perlu bergantung kepada perunding, jadi tiada (proses) semak dan imbang. Kita tidak tahu sama ada perunding itu akan memberikan nasihat yang tepat,” katanya kepada FMT.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, JKR tidak lagi akan mengendalikan projek prasarana kecil seperti membaiki sekolah usang.

Beliau berkata, projek itu sebaliknya akan diselia oleh pejabat daerah atau jabatan kerajaan lain, bagi membolehkan JKR memberi tumpuan kepada projek lebih besar.

Roslan berkata, kerja pembaikan dan penyelenggaraan kecil termasuk menukar mentol, pembaikan tandas dan pemasangan papan tanda sudah dilaksanakan oleh agensi kerajaan lain.

Beliau berkata, istilah “projek kecil” mesti ditakrifkan dengan betul kerana pembaikan sekolah usang juga memakan perbelanjaan tinggi dan memerlukan kepakaran teknikal.

Roslan juga berkata, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan membenarkan jabatan lain mengendalikan projek kecil akan membolehkan ketelusan dan kecekapan lebih tinggi dicapai.

Beliau berkata, perolehan bawah JKR tertakluk kepada beberapa lapisan penilaian yang turut melibatkan pegawai jabatan dan kementerian kerajaan lain.

Katanya, Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) menyatakan jabatan kerajaan bukan teknikal perlu meminta bantuan daripada jabatan teknikal yang diiktiraf, termasuk JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“JKR boleh menyerahkan kerja itu kepada pihak lain (tetapi) hanya jika mereka tidak dapat melaksanakannya,” katanya. – SM

BACA Konsesi bolot projek kecil di Perak – Hamidah Osman

BACA Arahan PM Anwar: Cepat siapkan projek kecil

 

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button