fbpx
Nasional

JKR Kuala Langat mohon maaf pada KJ

JABATAN Kerja Raya (JKR) Kuala Langat tampil memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang cedera selepas basikalnya melanggar lubang di atas sebatang jalan raya di daerah tersebut hari ini.

Permohonan maaf itu dilakukan di Twitter rasmi Ahli Parlimen Rembau selepas beberapa jam Khairy Jamaluddin berkongsi mengenai insiden tersebut di media sosialnya.

JKR Kuala Langat berkata, mereka akan mengambil tindakan terhadap isu tersebut dengan segera.

Selain itu, pentadbir akaun Twitter JKR Kuala Langat itu turut sempat mendoakan Khairy Jamaluddin agar sembuh dengan segera.

“JKR Kuala Langat memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa YB. Menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh,” katanya.


Khairy Jamaluddin menjadi menteri pertama yang cedera akibat terlanggar lubang di atas jalan ketika melakukan riadah berbasikal. Aktiviti berbasikal merupakan sukan riadah yang semakin popular dalam kalangan rakyat dan juga ahli politik di negara ini.

Khairy Jamaluddin berkongsi insiden malang itu di Twitternya petang tadi dengan menampilkan beberapa foto termasuk wajah beliau yang mengalami lebam dan calar akibat tercampak dari basikal yang ditunggangnya selepas melanggar lubang yang berada di atas jalan.

Basikalnya juga kelihatan rosak dan hampir memasuki parit yang berada di sebelah jalan tersebut.

Khairy Jamaluddin turut berkongsi gambarnya sedang mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan susulan insiden yang tidak di sangka-sangka itu.

Pothole, ditch, KJ. 2020 keeps giving,” ciap Khairy Jamaluddin ringkas bagi menggambarkan insiden yang berlaku.

Beberapa pengguna Twitter sinis dengan permohonan maaf yang dilakukan JKR Kuala Langat yang mereka sifatkan sebagai ‘pantas’ dan ‘rajin’ bekerja pada malam Ahad.

“Pantas, hari Ahad cuti pun reply tweet, malam ini juga bertindak tar baru 10 kilometer,” kata @ikhwanxsr.

“Laju nak minta maaf! Kalau rakyat biasa haram nak pandang! Entah kenapa Aku rasa mcm sakit hati pula baca,” komen @mhdaznrlsn.

“Hi JKR, setiap hari ada aduan tentang jalan berlubang dan tiada lampu jalan, tetapi selalu hanya reply tunggu peruntukan. Adoii!” komen @chaser_kang.-SM

(Visited 610 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button