Nasional

Jaringan Kolaborasi MoA antara UPSI dan MFPC Ikhtiraf Peningkatan Kadar Profesional Mahasiswa UPSI

MALAYSIAN Financial Planning Council (MFPC) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) yang baharu bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk bekerjasama bagi memperkukuh, menggalakkan dan membangunkan kerjasama bersama dalam bidang pendidikan yang memfokuskan kepada pendidikan berkaitan kewangan dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UPSI khususnya kepada pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) Dengan Kepujian di bawah naungan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata dengan pewujudan pensijilan profesional ini, kadar kebolehpasaran graduan bagi program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) adalah antara yang tertinggi di UPSI (98.9%-2022, 100%-2021, 97.3%-2020) dan ini menunjukkan bahawa kerjasama itu berjaya memberi nilai tambah pensijilan kepada para graduan serta mempunyai enrolmen tertinggi di fakulti yang juga telah memenangi program terbaik dalam Anugerah Akademia UPSI bagi tahun 2022.
Prof Suriani (duduk, dua dari kiri) bersama Presiden MFPC, Andy Ng Yen Heng (duduk dua dari kanan) menandatangani persetujuan MoA.
“Penawaran program ini kepada pelajar dilihat selaras dengan permintaan industri dalam meningkatkan bilangan graduan profesional untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di seluruh negara dan membuka peluang kepada jaringan kerjasama dengan pihak industri dan seterusnya memberikan nilai tambah kepada para graduan UPSI dengan penganugerahan Registered Financial Planner (RFP) yang dapat menjamin laluan kerjaya mereka di dalam bidang berkenaan”, ujar beliau.
“Satu lagi pencapaian penting diperolehi apabila UPSI menjadi universiti pertama yang berperanan sebagai universiti perintis kepada penubuhan Kelab Perancangan Kewangan di bawah MFPC di mana penubuhan kelab ini akan membolehkan penglibatan yang lebih erat antara UPSI dan industri melalui MFPC, yang akan bertindak sebagai penasihat industri kami”, jelasnya lanjut ketika perasmian penubuhan kelab tersebut.
Presiden MFPC, Andy Ng Yen Heng dan Prof Suriani melancarkan Kelab Perancang Kewangan UPSI .
Turut hadir Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman bersama Presiden MFPC, Andy Ng Yen Heng dan Setiausaha MFPC, Anthony Ang Sang Nang yang mewakili MFPC dalam majlis MoA ini.
MoA di antara UPSI dan MFPC yang ditandatangani pada tahun 2017 berjaya memberi impak positif terutamanya dari aspek peningkatan kadar kebolehpasaran bagi graduan UPSI dan kerjasama ini diteruskan selaras dengan matlamat UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan.
MFPC adalah satu badan bebas yang telah didaftarkan pada 10 Mac 2004 di bawah Akta Pertubuhan 1996 dengan objektif murni untuk menggalakkan pembangunan dan peningkatan profesion perancangan kewangan di seluruh negara serta menyediakan set Piawaian Amalan Terbaik dan Kod Etika yang sentiasa berkembang yang perlu dipatuhi oleh Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) dan penerima RFP Syariah.
MFPC juga memberikan anugerah Best Student Associate RFP kepada pelajar terbaik setiap kohort setelah lulus modul-modul peperiksaan yang ditetapkan oleh MFPC.
Antara ahli Kelab Perancang Kewangan UPSI .
 Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perakaunan dan Kewangan, FPE, khususnya kepada Dekan, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Hazianti Abdul Halim; Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Dr. Rosmini Ismail, dan Penyelaras BBA (Perkhidmatan Kewangan), Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Basri atas usaha berterusan mereka dalam menjayakan satu lagi kerjasama untuk universiti.
Hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman menyaksikan majlis MoA yang ditandatangani. -SM
(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button