Nasionalpilihan

Jangan kacau dan rosakkan reputasi Malaysia di mata pelabur

KEMASUKAN pelaburan asing yang besar dari China dan Jerman membuktikan negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ini adalah stabil serta kukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan pelabur luar yang membawa keuntungan kepada negara tidak seharusnya dirosakkan dengan tindakan sesetengah pemimpin yang tidak amanah atau bermain politik kotor.

“Dalam masa singkat, syarikat Geely dari China yang bersama Proton akan ke Tanjung Malim dengan pelaburan sebanyak RM10 bilion untuk bangunkan bandar automobil, ia akan memberi ribuan pekerjaan kepada anak muda.

“Syarikat gergasi Jerman juga turut melabur berjumlah sebanyak RM26 bilion.  Apa faedahnya? Ribuan anak muda boleh mendapat pekerjaan dan yang paling hebat boleh menerima teknologi lebih canggih.

“Pelabur dah mula yakin dengan kita jadi jangalah kacau dan rosakkan. Kalau hendak lawan tunggulah empat tahun lagi. Kamu bising macam mana pun insya-Allah Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengambil kesempatan dengan menyorok stok beras putih tempatan (BPT).

Tegas beliau, kerajaan akan mengheret pihak tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan kerana mengambil kesempatan di tengah-tengah kekurangan stok bahan mentah dalam pasaran negara demi mengaut keuntungan.

“Kemudian ada juga dalam kalangan yang salah guna, sorok, simpan (beras), saya beritahu kepada saudara Mat Sabu (beri) arahan yang jelas kepada badan penguat kuasa. Kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah mencari beras, kamu sorok, kamu jaga.

“Kami akan cari kamu dan sama ada bawa kamu ke mahkamah…orang tengah susah, masa itu kamu nak cari untung,” katanya.

Artikel berkaitan > Anwar beri amaran pihak yang cuba sorok beras

 

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button