Nasional

Fenomena air pasang, banjir di Johor: 614 mangsa ditempatkan di 10 PPS

PERKEMBANGAN terkini banjir di Johor. Jumlah mangsa banjir meningkat sedikit pagi tadi. Sebanyak 614 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 607 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan dalam satu kenyataannya hari ini berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, kesemua mereka yang melibatkan 156 keluarga di Muar, Batu Pahat dan Pontian, berada di 10 PPS.

Vidyananthan berkata, berlaku sedikit pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS di Muar dan Batu Pahat malam tadi manakala di Pontian, tidak berubah.

“Setakat pagi tadi, seramai 229 orang daripada 64 keluarga berada di empat PPS di Muar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18 dan SK Parit Bulat.

“Manakala 183 daripada 39 keluarga berada di tiga PPS di Batu Pahat iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya.

Beliau menambah di Pontian, seramai 202 orang daripada 53 keluarga berada di tiga PPS iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian serta SK Kampung Melayu Raya.

Banjir di beberapa daerah di Johor berlaku sejak Sabtu lalu apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa, ditambah dengan fenomena air pasang. – SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button