NasionalParlimen

RMK-12: Fokus ke-6 perkasakan agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) memfokus kepada Keluarga Malaysia merangkumi Bumiputera, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah yang mempunyai 42 etnik dan lebih 200 sub-etnik. Antara lebih 200 sub-ethnik ialah suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Bajau.

Bumiputera Sarawak yang mempunyai 27 etnik antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh di samping kaum Cina, India dan lain-lain adalah Keluarga Malaysia. Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga ini yang berpendapatan rendah serta kumpulan khusus dan golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum yang memerlukan pembelaan dan bimbingan, akan diberi perhatian.

“Kerajaan sedar bahawa sebilangan besar Bumiputera masih lagi berpendapatan rendah dan miskin berbanding etnik lain. Jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan kaum Cina semakin melebar iaitu empat kali ganda pada tahun 2019 berbanding 1989.

“Saya memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan. Ini sebagai mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri iaitu pribumi Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.

“Hasrat Kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.

Menurut Ismail Sabri lagi, agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini.

“Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz, akan diperkukuh, antaranya melalui inisiatif berikut:

Latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang dan

Kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya.

Daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkat bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan PMKS Bumiputera kepada KDNK pada tahun 2025.

Pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu, termasuk:

-Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera

-Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kontraktor Bumiputera dan

-Penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi,” kata beliau.

Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, Ismail Sabri turut menekankan, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluas bagi menyokong usahawan Bumiputera,” ujarnya.

Sebagai inisiatif untuk mengembangkan lagi ekonomi Islam, konsep wakaf akan diperluas sebagai strategi mempelbagaikan sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera, kata Ismail Sabri.

“Dalam hubungan ini, lebih banyak instrumen wakaf akan diperkenalkan termasuk mewujudkan satu dana wakaf di peringkat nasional bagi menggembleng lebih banyak sumber untuk keusahawanan dan membiayai program pembangunan sosioekonomi.

Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap,” katanya. – SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button