Nasional

Industri pos dan kurier pemangkin ekonomi digital dan peneraju ekosistem lestari – Annuar Musa

Hari Pos Sedunia disambut pada 9 Oktober setiap tahun bagi menghayati kepentingan dan sumbangan perkhidmatan pos dan kurier kepada masyarakat global, serta memberi penghormatan kepada kakitangan pos yang memberikan sumbangan luar biasa dalam menjalankan amanah pelanggan.

Ia juga menandakan ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia pada tahun 1874 di Bern, ibu kota Switzerland.

Pada tahun ini, Hari Pos Sedunia disambut bertemakan Post for Planet sebagai apresiasi sumbangan pos terhadap masa depan alam sekitar yang mampan dan bersesuaian dengan hasrat pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang antaranya menyasarkan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang. Malaysia sebagai ahli Kesatuan Pos Sedunia (UPU) amat komited untuk mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030 melalui UPU dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bagi membina masa depan yang lestari demi kesejahteraan sejagat.

Selari dengan tema sambutan Hari Pos Sedunia, rangkaian perkhidmatan pos dan kurier dalam negara yang semakin moden dan inklusif perlu memainkan peranannya dalam peralihan kepada gaya hidup lestari. Usaha ini telah bermula sejak tahun 2020 di mana penggiat industri pos dan kurier telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan jejak karbon dan menjalankan operasi perniagaan 100% tanpa kertas menjelang tahun 2025. Antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk memperkenalkan sistem elektronik layan diri yang membolehkan pelanggan membuat nota e-konsainan menggunakan aplikasi mudah alih dan membuat penghantaran bungkusan tanpa mencetak airway bill.

Setakat ini terdapat lebih 8,568 warga kerja pos di seluruh negara yang bertungkus lumus menjalankan tugas dalam pelbagai persekitaran yang cukup mencabar dan berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu terutama di kawasan pedalaman dan terpencil. Saya amat menghargai sumbangan warga kerja pos yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan surat, dokumen dang bungkusan dapat dihantar dengan selamat dan pantas dalam apa jua keadaan.


Pada ketika ini, Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan ekonomi digital yang begitu pesat serta telah mewujudkan perniagaan digital baharu dan berjuta Keluarga Malaysia menggunakan kaedah maya bagi keperluan harian seperti membeli belah dalam talian. Oleh itu, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) telah diwujudkan dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Industri pos dan kurier merupakan pemangkin utama pembangunan ekonomi digital kerana kebergantungan sektor e-dagang terhadap kelancaran rantaian bekalan pos yang bersepadu khususnya dalam perkhidmatan penghantaran capaian akhir (last-mile delivery). Oleh itu, segala usaha memperkasakan industri pos dan kurier yang dinamik dan cekap perlu dititikberatkan supaya ia mampu menyokong pertumbuhan sektor e-dagang dan ekosistem digital secara keseluruhan.

Ketika ini, industri pos dan kurier dilihat begitu kompeten dalam adaptasi terhadap perubahan teknologi dan memenuhi permintaan pelanggan serta menyokong perkembangan sektor e-dagang dengan melaksanakan transformasi digital dan memperbaharui model perniagaan masing-masing demi mewujudkan persekitaran yang lebih mampan untuk Malaysia. Saya mengalakkan semua pihak untuk terus memberi sokongan dan beri kerjasama dalam segala usaha bersama ahli-ahli UPU lain supaya perkhidmatan pos dan kurier yang dinamik, cekap dan boleh dipercayai dapat dicapai.

Segala usaha yang dilaksanakan untuk memperkasakan industri pos dan kurier adalah demi memastikan ia kekal berdaya saing dalam keadaan pasaran yang pantas berubah.

Saya menyeru semua pihak termasuk dari pihak Kerajaan, agensi, syarikat swasta supaya terus berkhidmat dengan cemerlang dan memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik demi kepuasan pelanggan. Selamat Hari Pos Sedunia!

YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa
Menteri Komunikasi Dan Multimedia

(Visited 25 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button