Nasional

Kebenaran diberikan, permohonan petugas kesihatan ke Gaza dibuka – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuka permohonan kepada petugas kesihatan yang bersedia menyertai pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, latihan bersesuaian akan diberikan kepada pasukan perubatan itu kerana akan terlibat dalam merawat mangsa-mangsa bencana peperangan.

Kata beliau, pihaknya bekerjasama rapat dengan Palang Merah Antarabangsa dan Mercy Malaysia dalam inisiatif ini demi menyokong sistem kesihatan di Gaza yang berhadapan krisis ekoran konflik Palestin-Israel.

“Permohonan penyertaan dibuka secara dalam talian untuk mana-mana anggota kesihatan yang bersedia untuk dihantar ke sana.

“Kita berdepan dengan peperangan, latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana berdepan dengan peperangan ini, ia satu perkara yang sangat menekan.

“Jadi dari sudut persediaan lain-lainnya, saya yakin anggota kesihatan ini, mereka memang bersedia dari sudut rawatan dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di sini hari ini.

Isnin lalu, KKM mengesahkan bersedia menghantar pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan, malah pihaknya sudah mengenal pasti pasukan yang boleh dimobilisasikan.

Zaliha berkata, beliau turut berhubung dengan pasukan perubatan di sana dalam keperluan bantuan peralatan perubatan dan pembedahan berikutan kecederaan sangat tinggi di wilayah bergolak itu.

Terdahulu, KKM turut mengambil langkah menyediakan bantuan kemudahan kelengkapan perubatan untuk dihantar ke Semenanjung Gaza antaranya alat consumable seperti syringe pump, suture, IV cannula, dressings dan bandage selain perkhidmatan neurosurgery dan surgical trauma.

Ia turut melibatkan kemudahan peralatan seperti ‘medical beds’ dan ubatan yang bersesuaian dan sentiasa mengikuti perkembangan di Gaza.

Menerusi maklumat disampaikan oleh Gaza-Medics Worldwide, daripada sejumlah 35 buah hospital terdapat di Semenanjung Gaza, satu per tiga telah musnah.

Sehubungan itu, perlu ada usaha untuk memulih dan menambah baik kemudahan perkhidmatan perubatan di hospital-hospital yang masih beroperasi.

Penambahan kemudahan itu bertujuan menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak dan sangat diperlukan rakyat di Gaza buat masa ini.

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button