Bola SepakSukan

Harimau Malaya pendekkan kem latihan pusat di Johor Bahru

HARIMAU Malaya memendekkan kem latihan pusat daripada sembilan hari kepada tujuh hari di Johor Bahru bagi memberi laluan para pemain berehat sebelum liga domestik bermula tidak lama lagi.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, pihaknya berbuat demikian selepas menyaksikan reaksi positif daripada barisan pemain yang hadir menyertai kem latihan, selain ketiadaan perlawanan persahabatan sepanjang sesi latihan tersebut selama seminggu.
“Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, kita telah membuat keputusan untuk memendekkan tempoh kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru kepada tujuh hari iaitu berakhir pada hari ini (semalam).
“Saya berasa gembira melihat reaksi positif yang ditunjukkan para pemain dalam tempoh seminggu ini selepas setahun lebih kita tidak berkumpul bersama, selain komitmen tinggi yang ditunjukkan mereka biarpun telah mengharungi jadual padat lima perlawanan Liga Super 2021 dalam tempoh dua minggu sebelum melapor diri.
“Disebabkan jadual perlawanan liga yang seterusnya agak dekat dan mengambil kira tempoh rehat pemain-pemain selepas kem latihan pusat ini, saya memberi ruang kepada pemain dan kelab untuk melakukan persiapan liga dengan lebih awal,” katanya.
Menurut Cheng Hoe, keputusan itu juga dibuat memandangkan kem latihan pusat tidak melibatkan sebarang perlawanan antarabangsa.
Jelasnya, walaupun kem latihan pusat kali ini dipendekkan, ia tetap mencapai objektif setelah melihat para pemain masih berjaya mengekalkan corak permainan terutama dari segi taktikal yang mana mereka memahami cara pasukan bermain dan dia cukup berpuas hati.
“Saya masih dapat lihat banyak perkara positif dalam pasukan terutama pemain-pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri serta bekerjasama sebagai satu pasukan. Persefahaman dan suasana sepanjang kem latihan pusat kali ini pun cukup baik.
“Saya harap, apabila kita berkumpul semula pada Mei nanti, para pemain dapat datang dengan keadaan yang cukup bersedia dan bebas daripada kecederaan supaya kita akan dapat terus beri fokus sepenuhnya untuk baki tiga perlawanan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang cukup penting menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti,” ujarnya.
Pengendali skuad kebangsaan itu turut berharap dengan pelepasan awal tersebut, para pemain dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk kembali menyambung aksi Liga Super 2021 bersama kelab masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu ini (2 dan 3 April 2021).
“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya, terima kasih diucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka sepanjang tempoh seminggu kami menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru ini,” tambahnya. – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button