Bola SepakSukan

FAM, MSN bentuk pasukan beraksi dalam Liga Premier

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjalin usaha sama bagi membentuk pasukan yang bersifat pembangunan bergelar Skuad Projek FAM-MSN.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan badan induk bola sepak negara itu, skuad Bawah 20 tahun itu akan bersaing dalam Liga Premier 2021 sebagai antara usaha FAM dan MSN mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara serta antarabangsa dan peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari ini.

Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah, dilantik melatih pasukan yang menjadi skuad ke-11 beraksi dalam Liga Premier sebagai antara langkah mendedahkan mereka kepada saingan kompetitif sepanjang musim.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan sumbang saran di antara pihak FAM dan MSN sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan kelompok terpilih lepasan NFDP serta AMD tidak terlepas aksi kompetitif pada usia 18-20 tahun.

Majlis pengumuman skuad itu diadakan di Arena Futsal FAM, semalam dengan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sebagai tanda kerjasama tersebut, Reezal turut melancarkan logo pasukan yang menggabungkan ciri-ciri logo AMD dan NFDP dengan panji-panji negara.

Reezal berkata, Player’s Pathway atau laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak negara.

Menurutnya, pemain yang berpotensi sudah tentu dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam saingan liga tempatan, tetapi bagi kelompok yang lambat matang, mereka akan mempunyai peluang kedua memastikan terpilih menyertai skuad projek tersebut.

“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, bagi FAM pula, Hamidin memberitahu, jalinan kerjasama bersama MSN menghidupkan semula persekitaran yang membawa kepada penghasilan generasi pemain yang menjadi teras kepada skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, 2011 dan Piala AFF 2010 serta mengisi kelompongan untuk lepasan NFDP dalam struktur sedia ada.

“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini,” jelas beliau.

Generasi terbaik lepasan NFDP yang berjaya menempatkan diri dalam Liga Super dan Liga Premier boleh diserapkan ke dalam skuad projek secara pinjaman, tertakluk kepada prestasi pemain dan persetujuan di antara majikan mereka serta pengurusan pasukan.

Penyertaan skuad projek FAM-MSN ke dalam Liga Premier diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan Malaysian Football League (MFL), penganjur liga, baru-baru ini.

Sekalipun skuad itu bukan pasukan kebangsaan sebenar, kelompok pemain yang cemerlang akan dijadikan sebagai teras skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021, pusingan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2022, Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan SEA Kemboja 2023 dan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2024 serta saingan peringkat AFF.

Sebagai permulaan, Yusri, 44, akan meninjau bakat dalam proses pemilihan bermula minggu ini.

Dia dijangka menamakan senarai anggota skuad dengan menyerapkan kelompok pemain generasi kedua lulusan AMD sebagai teras.

Yusri akan dibantu panel kejurulatihan yang dianggotai Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal), dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai anggota sokongan sains, perubatan dan teknologi sukan.

Memiliki 42 caps antarabangsa yang dikumpul dari 1997-2002, Yusri yang pernah menyarung jersi Perlis, Selangor dan Perak, memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 dan berpengalaman membimbing skuad Perlis di peringkat Piala Presiden/Sukma, MyKids dalam NFDP, Felcra FC, Kelantan dan Kuala Lumpur dalam saingan tempatan.

FAM dan KBS melalui MSN turut bersetuju membentuk jawatankuasa pengurusan pasukan yang dipengerusikan oleh pengurus pasukan, Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga Naib Presiden FAM.

FAM dan MSN juga akan mengumumkan penaja dan rakan pendidikan dalam masa terdekat ini. – SM

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button