fbpx
Bola SepakSukan

Man United tagih sentuhan Portugal

APA lagi yang mahu dinantikan oleh keluarga Glazer selaku pemilik gergasi Old Trafford.

Kekalahan memalukan 2-0 kepada Burnley dalam Liga Inggeris pagi tadi cukup menyakitkan hati.

Marah dan geram terhadap Liverpool belum lagi reda, ditambah lagi rasa sakit hati tewas pula kepada Burnley yang mencatat kemenangan pertama mereka di Old Trafford sejak 1962.

Tak perlu tunggu lagi, sambar segera bintang Sporting, Bruno Fernandes jika mahu melihat United kembali antara pesaing terkuat liga.

United menguasai 70 peratus perlawanan tapi gerakan penyudah Burnley lebih tajam menerusi Chris Wood minit ke-39 sebelum Jay Rodriguez mengukuhkan kedudukan.


Semua maklum United beraksi tempang tanpa kelibat bintang-bintang seperti Marcus Rashford, Paul Pogba dan Scott McTominay yang masih bergelut dengan kecederaan.

Tapi itu bukan alasan kerana kekalahan hanya menyempitkan laluan United untuk bersaing merebut empat slot teratas ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Ribuan peminat Red Devils meninggalkan stadium sambil menyanyikan lagu mengecam Glazer ketika permainan masih berbaki, malah kekecewaan turut dirasai dua legendanya – Rio Ferdinand dan Paul Scholes.

Ferdinand mempersoalkan pulangan pelaburan United membeli pemain-pemain seperti Marouane Fellaini, Marcus Rojo, Matteo Darmian, Radamel Falcao dan Alexis Sanchez sebelum ini.

Dia tidak nampak ia membantu membentuk asas pasukan yang kuat, sebaliknya dia mempersoal apa kelebihannya walaupun dikatakan pelaburan itu mencecah 600 juta pound.

United hakikatnya tiada pembentukan asas yang kuat sejak persaraan Ferguson.

Malah, Scholes turut mendesak Ole Gunnar Solskjaer agar segera mendapatkan bintang Portugal, Fernandes bagi membendung masalah ketumpulan dalam skuad Devils.

Solskjaer ketika ditanya dalam sidang akhbar memberitahu beliau masih yakin akan ada kebangkitan anak-anak buahnya.

Kekalahan kepada Burnley baginya patut menjadi pengajaran buat pemain.

Walaupun peminat United sebenarnya sudah mulai muak dengan alasan yang diberi.

Show More

Related Articles

Back to top button