Ekonomi

Harga minyak lembab, permintaan tidak menentu

PROSPEK untuk harga minyak akan terus tidak menentu, didorong oleh permintaan yang lembap dan penawaran yang berterusan daripada pengeluar, menurut Sapura Energy Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata justeru, perkhidmatan lapangan minyak dan peralatan serta penerokaan dan pasaran pengeluaran dijangka terus tidak menentu.

Terutamanya dalam bidang yang dipacu oleh perbelanjaan modal berkaitan dengan kitaran komoditi.

“Bagaimanapun, gambarannya tidak suram sepenuhnya. Prospek pasaran minyak dan gas berbeza-beza mengikut rantau, dengan Timur Tengah dan Amerika Selatan paling berkembang dalam jangka panjang.

“Harga minyak rendah mungkin telah menangguhkan sekatan dalam beberapa projek, tetapi pembangunan gas di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Barat dijangka berterusan,” katanya dalam laporan tahunan 2020 syarikat itu.

Shahril berkata projek laut dalam dan ‘brownfield’ dijangka dapat bertahan dengan turun naik harga minyak.

Walaupun bahan api karbon masih diambil kira untuk sebahagian besar daripada permintaan tenaga global, tenaga boleh baharu segera menjadi pesaing, dengan bahagiannya diunjurkan meningkat daripada lima peratus hari ini kepada 15 peratus pada 2040.

“Sapura Energy terus optimis mengenai keupayaan kami dalam menempuh cabaran ini. Sejak kemelesetan pada 2014, Sapura Energy telah mengguna pakai strategi yang tangkas untuk membimbing kami melalui industri yang sensitif kepada kitaran ekonomi,” katanya.

Mengenai masa depan, tahun kewangan ini yang berakhir 31 Jan, 2021, akan menjadi tempoh optimis yang berhati-hati walaupun industri menghadapi satu lagi kemerosotan berikutan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan penggunaan dan menyebabkan ekonomi global lembap, katanya.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.21 juta pada suku pertama berakhir 30 April daripada kerugian bersih sebanyak RM109.10 juta pada tahun sebelumnya walaupun perolehan merosot kepada RM1.36 bilion daripada RM1.63 bilion sebelum ini.

Nilai perolehan kontrak Sapura Energy sebanyak RM14.0 bilion, dengan nilai kontrak baharu terkumpul setakat ini sebanyak RM0.8 bilion. – BERNAMA

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close