KesihatanNasionalPenyakit

Guna akuarium sebagai balang jual air dilarang

MENIAGA air dalam balang tak salah tetapi kata Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, menggunakan akuarium sebagai balang air adalah dilarang.

Penggunaan akuariaum bukan untuk tujuan diletakkan makanan atau minuman dan perbuatan itu dilarang seperti dinyatakan dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kata Radzi.

Merujuk kepada isu tular di media massa dan media sosial berkaitan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan, beliau berkata, ia menjadi satu kesalahan kerana akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan.

“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates.

“Ia boleh larut dalam air dan seterusnya mencemarkan air tersebut, sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan.

Radzi berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.

Beliau juga mengingatkan kepada para penjual atau peniaga makanan dan minuman dan juga pengguna untuk memandang serius serta memastikan makanan dan mimuman yang dijual itu selamat dan berkualiti untuk semua.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Sebelum ini, tular gambar penjualan ‘air balang’ menggunakan akuarium sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial. – SM

 

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button