Nasional

Institusi diraja perlu dipelihara, jangan direndahkan martabatnya

Pihak-pihak yang mengemukakan tafsiran bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menggantung mana-mana peruntukan Perlembagaan dalam tempoh darurat, sebenarnya meletakkan institusi diraja dalam keadaan bahaya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, tidak ada mana-mana peruntukan Perlembagaan yang memberikan kuasa sebegitu kepada baginda.

“Tujuan penggantungan Parlimen dibuat hanyalah untuk memudahkan Ordinan-Ordinan Darurat yang diperlukan untuk mengurus pandemik COVID-19 diluluskan dengan segera tanpa perlu melalui proses Parlimen yang panjang, itu sahaja, bukan untuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bertindak secara sendiri tanpa mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“Kalau ditafsirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam tempoh Darurat, termasuk untuk memanggil Parlimen bersidang, maka apa akan jadi dengan peruntukan Ordinan Darurat yang menyatakan bahawa kuasa Eksekutif Persekutuan kekal dijalankan oleh Jemaah Menteri yang ada pada tarikh Darurat diisytiharkan hingga tamat?,” katanya.

Menurut Dr Iskandar, jika tafsiran sama digunakan juga maka baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan Parlimen turut perlu diguna pakai kerana soal pembubaran Parlimen turut terkandung dalam peruntukan Ordinan Darurat yang sama.


Jelasnya, di dalam Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan, Raja-Raja Melayu menzahirkan bahawa “Kita akan bertindak atas nasihat” dan “Kita selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri”.

“Selaras dengan itu, adalah lebih bijaksana untuk pihak istana tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi. Kenyataan seperti persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin telah menimbulkan banyak polemik kerana ini hal politik. Jika yang tidak bersetuju bersuara pastilah ia akan mendedahkan institusi diraja kepada kritikan.

“Bukannya tidak boleh Raja-Raja Melayu menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara atau mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri tetapi biarlah ia dilakukan secara tertib dan rasmi mengikut prosedur dan peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Tambah Dr Hasan, dia yakin bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai niat untuk tidak akur dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dan kita juga percaya bahawa Baginda-Baginda semua ikhlas dalam menzahirkan titah pandangan, cuma jika ia dilakukan secara tertib dan rasmi pastilah tiada pihak boleh menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun lalu menzahirkan supaya persidangan Parlimen dilakukan secepat mungkin bagi membincangkan isu-isu Covid-19 dan masalah yang dihadapi rakyat.

Kenyataan media tersebut juga menimbulkan perdebatan hangat di kalangan ahli-ahli politik, ahli-ahli akademik, para peguam dan masyarakat umum, khususnya yang berhubung dengan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan bahawa tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menyusulinya adalah pandangan sesetengah pihak bahawa dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021 maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan Baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Kononnya termasuk di dalamnya adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen di mana ini dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Baginda.

Dihujahkan juga bahawa dalam tempoh Darurat berkuatkuasa Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan kuasa prerogatif Baginda untuk menggubal Ordinan Darurat bagi menggantung Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Baginda menerima dan bertindak mengikut nasihat jika nasihat Baginda tidak dipatuhi oleh Jemaah Menteri.

Namun begitu, kita perlu bersyukur kerana masih ada dalam negara kita ini tokoh-tokoh perundangan seperti mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, penyandang kerusi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz, dan mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang bersuara membetulkan keadaan.

Segera diingatkan oleh Tun Abdul Hamid dan Prof Datuk Dr Shamrahayu supaya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang cuba mengheret institusi ini untuk melakukan perkara yang di luar bidang kuasa Baginda-Baginda semua.

Dijelaskan oleh mereka berdua bahawa Baginda-Baginda semua perlu senantiasa waspada bahawa mereka adalah Raja Berperlembagaan, dan sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong khususnya hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Peguam Negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara Baginda.

Adalah satu fakta yang jelas bahawa mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah Peguam Negara dan Baginda akan berdepan dengan kesukaran jika Baginda membelakangkan nasihat Peguam Negara dan menerima pakai nasihat orang-orang lain, walaupun jika mereka ini adalah pakar Perlembagaan sekalipun. -SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button