Nasional

Dua lokaliti dikenakan PKPD, satu dilanjutkan, 6 ditamatkan

HANYA dua lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini. Kedua-dua lokaliti tersebut membabitkan Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama di Kunak, Sabah.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia telah melakukan 16 ujian saringan di Kampung Pangi Hujung dan 11 kes direkodkan positif.

Manakala sebanyak 15 kes dikesan di Kampung JKR Lama hasil daripada 42 saringan di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Kunak, Sabah seperti dinyatakan berkuat kuasa pada 24 Jun sehingga 7 Julai,” katanya.

Sementara itu, PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah dilanjutkan sehingga 7 Julai. Ini berikutan 22 daripada 200 ujian saringan di kawasan itu disahkan positif COVID-19. PKPD di Kampung Kebayau dijadualkan tamat pada 23 Jun.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD terhadap enam lokaliti di seluruh negara.

Tersenarai adalah Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B Taman Indah Jaya di Sandakan, Sabah. Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi di Kudat, Sabah.

Turut ditamatkan PKPD melibatkan Taman Perdana, Lahad Datu, Sabah dan Kampung Sungai Penchala, di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu 959 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam. Daripada jumlah itu seramai 923 dikompaun manakala 36 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (251), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (198) dan individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (144).

Turut dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka (134), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84) membawa penumpang berlebihan (64), premis gagal patuhi arahan (19), aktiviti pusat hiburan (4) dan lain-lain (61).

Berkaitan Operasi Benteng, seramai 35 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan ketika cuma menceroboh sempadan negara.

Pihak keselamatan turut merampas tujuh buah kenderaan darat serta empat (4) buah bot/kapal.-SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button