fbpx
Nasional

Guna AI dan BDA bantu kawal penularan COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya (BDA) dalam membantu mengawal penularan wabak COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata persetujuan itu diputuskan dalam satu mesyuarat kerjasama strategik membabitkan tiga kementerian itu bagi mengawal penularan wabak COVID-19 yang diadakan di ibu pejabat KKM di Putrajaya, hari ini.

“Mesyuarat itu membincangkan perkara berkaitan penggunaan teknologi AI dan BDA berkaitan smart tracking dan keperluan dan perkongsian data dan kerjasama antara MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi centre for diagnostic screening, kajian epidemiologi dan kajian kesahihan drug malaria,” katanya menerusi catatan di laman Twitter rasminya @DrAdhamBaba hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Dr Adham, Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin.

Turut hadir ialah timbalan menteri bagi ketiga-tiga kementerian berkenaan, pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi, ahli akademik, serta pihak swasta. – BERNAMA


Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button