Politik

Gencatan politik bukan perkara baharu – Loke

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, gencatan politik bukan perkara baharu kerana beliau sendiri pernah menyarankannya.

Menurut Loke saranan itu dibuat supaya semua parti berlapang dada dan bersedia duduk di meja rundingan bagi menyelesaikan kemelut politik.

“Sebenarnya saya telah pun mengemukakan pandangan berkenaan “gencatan politik” seawal bulan Ogos yang lalu, sebelum pun Pilihanraya Negeri Sabah diadakan.

“Saya berpandangan semua parti perlu berlapang dada dan bersedia untuk duduk di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini.

“Pemimpin politik mesti bersedia untuk provide leadership.

“Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu tidak ada pilihanraya umum sehingga tempoh Parlimen ke-14 berakhir, fokus seluruh tenaga untuk memerangi wabak Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu menyokong kerajaan PN untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Kata ahli parlimen Bagan Datoh itu, UMNO memutuskan untuk mengarahkan kepimpinan parti dalam kabinet menumpukan usaha bagi menjayakan agenda membantu rakyat berdepan kesukaran akibat Covid-19.

Bagaimanapun menurutnya, kerjasama semua parti dalam PN harus diperkasakan demi kestabilan politik.

Loke berpendapat gencatan politik itu turut mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara tidak langsung mengakui bahawa memang ada rancangan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Loke berkata gencatan politik UMNO adalah pendamaian sementara bagi membantu usaha yang dilakukan oleh kerajaan PN untuk membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kelembapan ekonomi.

“Gencatan politik merujuk kepada “pendamaian sementara” dua pihak yang bertentangan dalam politik khususnya di antara pihak dalam kerajaan dengan pihak yang berada dalam pembangkang.

“Yang peliknya, Presiden UMNO yang partinya berada dalam kerajaan PN mengumumkan “gencatan politik”. Secara tidak langsung, beliau mengakui bahawa memang ada rancangan untuk menjatuhkan kerajaan PN.

“Cuma sekarang kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, mereka berdamai sementara,” kata Loke dalam satu hantaran di Facebook. – SM

 

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button