Politik

Tetap teruskan usaha bantu parti – Mohd. Khairuddin

Tiada rasa kecewa buat Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali apabila Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Ulama Syura Pas mengikut Fasal 8(7) dan Fasal 8(5) Perlembagaan parti.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Nerus itu, walaupun tidak memegang sebarang jawatan beliau tetap berpendirian tegas untuk membantu jentera parti khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)
Johor.

Beliau berkata, keputusan yang diambilnya untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Ulama Syura dibuat secara sukarela dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Saya masih ahli Pas dan menjadi tanggungjawab untuk membantu apa sahaja untuk parti termasuk juga membantu jentera parti menghadapi PRN Johor nanti.

“Soal berapa kerusi yang akan ditandingi atau peluang untuk menang itu adalah keputusan pucuk tertinggi parti dan saya yang masih menjadi ahli tetap terus membantu untuk parti.

“Saya turun ke padang membantu calon-calon dari Pas di Johor dalam usaha memastikan kita menang lebih daripada satu kerusi berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Seri Negeri, hari ini.

Kata Mohd. Khairuddin lagi, menjadi tanggungjawabnya untuk turun ke padang membantu calon-calon Pas yang akan diumumkan bertanding dalam PRN Johor nanti.

Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berkata, dalam perjuangan politik yang diceburinya tidak pernah wujud satu perasaan kecewa kerana setiap apa yang berlaku mesti ada hikmah disebaliknya.

Pada 11 Februari lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan, Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, selepas perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau sebelum itu digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat kerana dikatakan mempunyai masalah disiplin dan berkaitan perkara dalaman parti itu.

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button