Nasional

Perdana Menteri akan umum sesuatu esok

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengumumkan sesuatu esok dan akan menyentuh banyak perkara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan terkini Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya hari ini, selepas ditanya mengenai kebenaran untuk golongan bujang yang ingin pulang bertemu ibu bapa.

Selain itu, Ismail Sabri berkata secara dasarnya kerajaan bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) Perluasan Kapasiti Jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah yang dibentangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Jelasnya, antara SOP yang dicadangkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini adalah berdasarkan keluasan masjid untuk penjarakan sosial.

“Asalkan ada penjarakan sosial di dalam masjid tersebut maka tidak ada halangan untuk kita membuka pada orang ramai untuk sembahyang jemaah. Kalau masjid tu besar, sebagai contoh Masjid Putrajaya kalau satu meter penjarakan mungkin boleh (muat) sampai 200 ke 300 jemaah,” katanya.

Ismail Sabri berkata SOP itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, katanya sebanyak  2,189 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Semenanjung dan Sarawak serta  672 PATI di DTI Sabah akan dihantar pulang mulai hari ini bagi fasa pertama.

“Kumpulan pertama membabitkan 450 PATI dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada hari ini dan akan diikuti 445 lagi ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 10 Jun ini. Proses menggunakan jalan laut dengan 1,294 PATI dijadual  berlepas ke Medan pada 22 Jun ini,” katanya.

Bagi fasa kedua pula, sebanyak 2,623 PATI akan dihantar pulang dalam masa dua bulan lagi, katanya.

Ismail Sabri berkata beberapa negara juga telah bersetuju membawa pulang warganegara mereka termasuklah China yang menyatakan persetujuan menerima 500 rakyatnya yang kini berada di DTI di negara ini.

Beliau berkata semua PATI di tiga DTI telah disaring COVID-19 dan mereka yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang untuk rawatan.

Sehingga semalam, 675 PATI sedang menerima rawatan manakala sebanyak 120 PATI telah dibenarkan discaj, katanya.

Ismail Sabri berkata dari 1 Mei sehingga semalam, sebanyak 393 PATI dan 72 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama di lorong-lorong tikus menerusi Operasi Benteng yang telah dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Katanya, turut ditahan 11 individu disyaki penyeludup serta12 buah kapal.

“Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 132 PATI, lima tekong serta 17 kapal yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara selain berjaya menahan 1,517 warganegara asing yang telah menceroboh sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kebenaran pembukaan lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi akan dibincangkan pada Selasa ini, antaranya aktiviti memancing ikan di kolam dan bot  membawa pelancong memancing di laut. – BERNAMA

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button