Ekonomi

Regulation Lab UAE Jalin Kerjasama dengan Futurise, Majukan Kawal Selia Inovasi

UAE Regulation Lab (RegLab), agensi di bawah Sekretariat Agung Kabinet UAE, menjalin kerjasama dengan Futurise Sdn Bhd (Futurise), sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, untuk mewujudkan persekitaran perundangan yang kondusif dan cekap dalam bidang kawal selia inovasi.

Dalam usaha membentuk pakatan kukuh membina solusi baharu melalui peraturan sandbox dan lain-lain inisiatif pemangkin di Malaysia dan UAE, rakan kerjasama baharu itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk perkongsian pengetahuan teknikal dan pengalaman masing-masing dalam pelbagai peringkat.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di UAE itu menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Menteri Negara dan Setiausaha Agung kepada Kabinet UAE, Maryam Alhammadi  dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain Baharudin.

Maryam Alhammadi berkata; “Memorandum persefahaman ini akan membolehkan kami bersama-sama membincangkan cabaran, pendekatan dan idea yang inovatif untuk memperkukuhkan pengawalseliaan yang mencapai standard serta penanda aras global dalam mewujudkan ekosistem kawal selia inovasi yang mampu membawa transformasi kepada sektor berkaitan.”

Selain daripada perbincangan aktif mengenai strategi memupuk persekitaran yang kondusif dan membolehkan pembangunan teknologi baharu untuk usahawan dan perniagaan di kedua-dua negara, perjanjian itu juga merangkumi penyelarasan antara kedua-dua pihak dalam meneroka kerjasama serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) rentas sempadan.

Rosihan Zain berkata, jalinan kerjasama melibatkan dua negara itu menandakan satu langkah penting yang akan memberi impak positif kepada landskap inovasi negara dalam mencapai Dasar Pelaburan Negara dan aspirasi MyDIGITAL.

“Kami sangat teruja dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan RegLab UAE dalam menyediakan semua ramuan penting untuk merangsang ekosistem teknologi Malaysia. Ia akan membantu memperhalusi lebih banyak inisiatif di Futurise dan seterusnya membawa kami ke arah yang betul dengan mempelajari amalan terbaik di negara lain.

“Gabungan pengetahuan Futurise dan RegLab UAE akan membina lapisan asas yang kukuh untuk kedua-dua negara mendapat manfaat dan membuka lebih banyak peluang dalam jangka masa panjang, dan seterusnya membangunkan solusi inovatif yang lebih dinamik serta mampu membuahkan hasil,” kata Rosihan.

Kerjasama itu juga akan mengaktifkan aktiviti penyelidikan bersama mengenai bidang yang mempunyai kepentingan bersama seperti reka bentuk, pembangunan dan pengurusan program ‘sandbox’ kawal selia dan platform inovasi terbuka untuk kegunaan pelbagai industri. Ini seterusnya akan memacu pembangunan solusi kawal selia yang boleh direplikasi, disesuaikan mengikut kawasan setempat dan berskala mengikut keperluan ekosistem.

Majlis menandatangani MoU itu disusuli dengan perbincangan panel dan pembentangan oleh pakar-pakar industri mengenai pelbagai topik mobiliti anjuran RegLab UAE.

Sepanjang tiga hari lawatan delegasi Malaysia ke UAE, sesi pertemuan dan rangkaian dengan agensi berkaitan di UAE turut diadakan bagi menyediakan akses dan pertukaran yang diperlukan dalam menggalakkan perbincangan dan kerjasama masa depan yang akan merevolusi bidang mobiliti di negara masing-masing.

Majlis menandatangani MoU itu disusuli dengan dua sesi RegTalk yang disertai oleh pakar industri mengenai pelbagai topik mobiliti yang dianjurkan oleh UAE Regulations Lab dan Futurise.

Sepanjang tiga hari, lawatan delegasi Malaysia ke UAE turut mengadakan pertemuan dan sesi networking dengan badan ekosistem dalam UAE untuk menyediakan akses dan pertukaran idea yang diperlukan untuk menggalakkan perbincangan dan kerjasama yang akan merevolusikan masa depan mobiliti. – SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button