Parlimen

Undi tidak percaya terhadap PM: Saya bukan buat sesuka hati. – Azhar

SPEAKER Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyegerakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di Dewan Rakyat.

Jelas Azhar, beliau telah melakukan penyelidikan berkaitan isu tersebut di negara-negara yang mengamalkan sistem Westminster seperti di Malaysia.

“Saya ingin beri satu contoh. Pada 2018 Jeremy Corbyn telah menfailkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri di House of Commons United Kingdom.

“Apabila usul itu tidak dinaikan ke nombor satu, maka pada satu hari Ahli Parlimen Cik Valerie Wise bangun dan bertanyakan kepada Speaker kenapa usul tersebut tidak dinaikkan ke nombor satu.

“Ini jawapan Speaker. Speaker mengatakan bahawa dia belum mendapat apa-apa petunjuk bahawa kerajaan mahu menaikan usul itu ke nombor satu. Itu konvensyennya. Kuasa bukan di bawah tangan speaker. Itu konvensyen yang kita ikut di Malaysia,” kata Azhar.

Azhar berkata, beliau tidak faham mengapa ramai antara ahli Parlimen, cendekiawan, peguam dan bekas peguam negara mengatakan beliau mempunyai kuasa untuk menyegarakan usul tersebut.

Beliau turun menawarkan hasil kajian yang dibuat untuk dikongsi bersama-sama ahli Parlimen yang lain.

Azhar berkata demikian selepas Ahli Parlimen Jelutong S N Rayer meminta penjelasan mengapa beliau tidak mengikut langkah yang diambil oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang telah membenarkan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Jumaat lalu.

“Saya percaya Tuan Speaker telah ambil maklum apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak. Di mana satu usul telah dibawa kepada Menteri Besar Perak dan usul itu telah disegerakan, dibahaskan dan diputuskan.

“Di dewan yang mulia ini saya percaya ada lebih kurang 16 usul undi tidak percaya terhadap Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin). Saya ingin bertanya, kalau Dewan Undangan Negeri Perak boleh membahaskan sesuatu usul dengan memberi keutamaan bolehkan kita ambil iktibar perkara yang sama?” tanya Rayer.

Tegas Azhar, beliau tidak mempunyai pengetahuan bagaimana Speaker DUN Perak membenarkan usul tersebut dilakukan.

“Saya tidak tahu peraturan mesyuarat mana dan di bawah kuasa apa dinaikkan ke nombor satu. Saya tidak tahu.

“Saya tidak terikat dengan apa-apa tindakan speaker-speaker lain. Lebih-lebih lagi speaker DUN kerana saya kurang pasti bagaimana mereka lakukan perkara tersebut. Saya tidak pasti peraturan mesyuarat yang digunakan di DUN masing-masing.

“Saya bukan membuat sesuka hati. Saya telah buat penyelidikan yang amat mendalam. Kalau kita lihat amalan dan konvensyen Westminster democracy, speaker memang tidak ada kuasa untuk menaikkan usul percaya itu atau usul tidak percaya itu ke nombor satu,” kata Azhar.

Beliau turut menjawan soalah Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar yang memohon penjelasan pihak mana yang mempunyai kuasa untuk menyegerakan usul terbabit.

Sivakumar: Mohon penjelasan, Yang Dipertua kata tadi perlu daripada pihak tertentu. Siapa yang sepatutnya kena beri indikasi ini untuk usul ini dibawa ke dewan.

Azhar: Menteri

Sivakumar: Kalau menteri saya rasa sampai hari kiamat pun benda ini tidak akan naik ke dewan.

Azhar: Itu bukan hal saya, saya tidak boleh teruskan berdasarkan andaian sahaja. Ok.-SM

 

 

 

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button