Agama

Dua jemaah haji Malaysia meninggal dunia

MAKKAH 2 Julai — Dua lelaki warganegara Malaysia meninggal dunia di sini pada Jumaat lepas (30 Jun), menjadikan seramai empat orang jemaah haji dari negara itu meninggal dunia di tanah suci semasa menunaikan haji musim ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata kedua-dua jemaah haji, kedua-duanya lelaki berusia 72 dan 60 tahun, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, serta strok dan lemah jantung.

“Dua lelaki ini adalah antara tiga jemaah yang tidak dibawa ke Arafah untuk wuquf kerana koma di hospital Arab Saudi,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, terdapat 95 jemaah di pusat rawatan Tabung Haji (TH) Makkah dan 15 jemaah Malaysia di hospital Arab Saudi.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata operasi Masyair yang merupakan kemuncak ibadah haji secara rasminya telah berakhir dengan kepulangan semua jemaah haji Malaysia ke Mekah dari Mina.

Beliau berkata seramai 13,219 jemaah haji atau 56 peratus meninggalkan Mina pada Jumaat selepas menunaikan Nafar awal (menjalankan ibadah Jamrah pada dua daripada tiga hari Tasyrik), manakala selebihnya mula bergerak pulang ke Mekah pada 6.23 pagi semalam selepas menunaikan “ Nafar Thani”.

Jemaah haji Malaysia akan mula bertolak ke tanah air bermula Rabu ini (5 Julai) dan penerbangan terakhir dijangka pada 31 Julai dengan jumlah penerbangan sebanyak 98 penerbangan. — Bernama

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button