Nasional

Dr. Noor Hisham minta rakyat lapor kemasukan PATI

DALAM satu langkah yang jarang diambil Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta agar rakyat melaporkan sebarang kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Rakyat boleh membuat aduan kemasukan pendatang asing tanpa izin kepada National Task Force (NTF)

“Laporkan sebarang aktiviti kemasukan dan pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Kepada National Task Force (NTF) di talian Hotline 011-62511223. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) Markas Angkatan Tentera Malaysia,” ciap Dr. Noor Hisham di Twitter.

Dr. Noor Hisham semalam mendedahkan, tindakan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah diusir ke negara asal, Filipina tetapi masuk semula secara haram ke Malaysia dikenalpasti indeks kluster baharu di Kunak, Sabah.

Kes indeks kluster iaitu kes ke-9859 adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang telah dihantar balik ke Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.


“Namun demikian, pada 5 September lalu, kes telah menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, Filipina melalui jalan tikus untuk melawat isteri kes.

“Isteri kes (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif COVID-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

“Beliau didapati mula bergejala pada 6 September lalu dan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 telah dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9861 dan kes ke-9862),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga 12 September lalu sejumlah 49 individu telah disaring dalam kluster itu yang mana kesemua saringan itu melibatkan warganegara Filipina.

Daripada jumlah ini, katanya, empat kes dikesan positif Covid-19 manakala 14 individu adalah negatif sementara 31 lagi individu masih menunggu keputusan saringan.

Selain itu satu lagi kluster iaitu Kluster Bentang juga bermula dari dua orang pendatang tanpa izin yang ditahan dan dimasukkan ke pusat tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdulah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, seramai 361 banduan dikesan positif dalam Kluster Benteng LD di Sabah. Turut dijangkiti dua kakitangan dan tiga kontak ahli keluarga kakitangan dan banduan serta 15 kontak sosial.

Kluster ini telah dikenal pasti pada 1 September. Ia bermula dari dua orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada 24 Ogos.

Mereka disaring dan didapati positif COVID-19 pada 31 Ogos 2020. Kes dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan.-SM

 

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button