Nasional

UPSI, UniSZA, bersama universiti ternama daulatkan Bahasa Melayu di London

MENYEDARI kepentingan memperkasa Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman dengan School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London untuk mempromosi bahasa kebangsaan itu di benua Eropah.

Abdul Razak (dua dari kanan) bersama Md Amin (kanan), Fadzli (dua dari kiri) menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama Prof Adam Habib, Pengarah SOAS University of London, United Kingdom hari ini.

 

Menurut Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin untuk mengantarabangsakan pusat pengajian pendidikan tinggi Malaysia serta hab pembangunan bakat, sekaligus memperkembangkan bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.

“MoU antara kedua pihak memberi fokus terhadap pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar antara kedua-dua institusi, perkhidmatan dan kerjasama dalam penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang bahasa lingua franca tersebut,” jelasnya selepas menandatangani perjanjian persefahaman di School Of Oriental and African Studies (SOAS) University of London.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai institusi pendidikan terulung yang berusia 100 tahun lamanya itu, UPSI sentiasa mencari ruang memartabatkan Bahasa Melayu sekali gus menjadikan pusat pengajian tersebut sebagai rujukan pendidikan di rantau ini terutamanya untuk kepentingan memartabatkan bahasa ibunda selaras dengan hasrat universiti memartabatkan kebitaraan pendidikan.

Delegasi KPT, UPSI dan UniSZA mengadakan lawatan selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di SOAS University of London, United Kingdom hari ini.

“UPSI yang terletak di Tanjong Malim, mempunyai sejarah panjang sejak dari zaman pra kemerdekaan telah menjadi pusat perkembangan pejuang kemerdekaan dan ilmuan orang Melayu kalangan rakyat jelata,”.

“Menerusi semangat yang diinspirasikan dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan 1922, kini UPSI menyimpan pelbagai khazanah untuk dikembangkan layarnya ke benua Eropah menerusi kajian dan penyelidikan di fakulti-fakulti, pusat bahasa mahupun Institut Peradaban Melayu yang sudah bertapak di bumi Muallim,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Professor Dr Fadzli Adam berkata dengan termeterainya kerjasama dapat dipergiat dan diperluaskan lagi bukan sahaja terhad kepada projek pendigitalan manuskrip yang sedang diusahakan sekarang.

Katanya, kerjasama itu juga akan membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang-bidang lain yang menjadi kekuatan dan tujahan bersama kedua-dua institusi SOAS dan UniSZA terutamanya projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS.

SOAS yang diwakili oleh pengarahnya Profesor Adam Habib berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dalam mengukuhkan jaringan kerjasama bersama universiti dari negara Asia.
Hadir sama pada majlis itu Education Attache, Education Malaysia London, Lukman Zulkifly.

Sempena majlis, delegasi dari Malaysia itu berpeluang melihat manuskrip Melayu yang diberi taklimat oleh Pensyarah Kanan di South East Asian Studies, Dr Mulaika Hijjas.

Laporan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril dari London. -SM

BACA JUGA : KPN-UPSI bekerjasama perkasa pendidikan awal kanak-kanak Tabika Perpaduan

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button