NegeriPolitik

Diskriminasi: Menteri Besar Perlis ikut rentak Sanusi

EKORAN beberapa isu yang disuarakan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bahawa kepimpinannya kini mula didiskriminasi oleh kerajaan PH-BN mencetuskan pelbagai reaksi.

Rentetan itu, Pengerusi Pakatan Harapan Perlis, Noor Amin Ahmad tampil dalam kenyataan media hari ini di mana beliau merujuk kepada petikan rakaman ucapan Mohd Shukri dalam satu ceramah Perikatan Nasional (PN).

“Mohd Shukri mendakwa tidak dijemput semasa Perasmian Hari Belia peringkat negeri Perlis,” kata Mohd Amin.

Tidak cukup dengan itu, katanya, Mohd Shukri juga mendakwa gambarnya sebagai Menteri Besar Perlis juga tidak diizin gantung di sekolah-sekolah.

Selain itu mendakwa tidak mendapat kebenaran menggunakan sistem siaraya Jabatan Penerangan untuk majlis berbuka.

“Daripada isu yang ditimbulkan ini juga menunjukkan seolah-olah beliau (Mohd Shukri) tidak mempunyai kuasa untuk berbuat apa-apa selaku Menteri Besar Perlis,” kata Noor Amin.

Jelasnya, pada hakikat tidak ada diskriminasi berlaku dan Mohd Shukri sepatutnya jujur dalam melontarkan perkara ini.

“Sepatutnya tidak terikut dengan rentak permusuhan cara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meskipun ucapan tersebut dibuat dalam majlis politik PN,” katanya.

Noor Amin turut menceritakan pengalamannya sendiri semasa menguruskan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa sambutan Aidilfitri di peringkat Parlimen Kangar tahun 2018, ada kemudahan sokongan daripada agensi kerajaan tidak dapat diberikan kerana permohonan lewat, bertindih dengan persiapan lain atau tidak dapat digunakan kerana rosak.

Bagaimanapun jelas Noor Amin beliau tidak pernah menjadikan ia sebagai isu sabotaj atau diskriminasi oleh agensi kerajaan berkaitan.

Malah katanya, semasa BN menjadi kerajaan di Perlis dan PH menjadi kerajaan di Persekutuan, tidak pernah timbul isu-isu seperti yang didakwa oleh Mohd Shukri.

“Apakah ini berpunca daripada kegagalan Mohd Shukri sendiri dalam memahami keutamaan tugas beliau dan menggunakan pendekatan lebih berdiplomasi dalam urusan yang dibangkitkan?,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan Mohd Shukri jelas mempertikai profesionalisme penjawat awam yang bertanggungjawab mengurus ketiga-tiga perkara yang dinyatakan.

Katanya, Mohd Shukri perlu sedar bahawa sebahagian mereka adalah pelantikan yang dibuat semasa PN memerintah.

Jelasnya, adalah wajar Mohd Shukri memohon maaf atas khilaf dan keterlanjuran kata beliau dalam membuat tuduhan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan kewibawaan penjawat awam dan agensi kerajaan berkaitan.

Katanya, seeloknya Menteri Besar fokus kepada isu-isu di negeri Perlis yang perlu diselesaikan.

Beliau menambah, rakyat juga masih tertanya-tanya mengapa begitu lama kerajaan negeri mahu mendedahkan sumber dan perincian pelaburan bernilai RM2.5 billion yang telah diumumkan.

“Adakah ia benar-benar kerana kecekapan pentadbiran beliau atau kerana kerajaan Persekutuan bertanggungjawab dan tidak mendiskriminasi negeri Perlis dan kerajaan negeri Perlis,” katanya. – SM

BACA Mohd Shukri MB Perlis baharu

BACA MB Perlis puas hati prestasi ADUNnya pada Sidang DUN pertama

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button