Politik

200,000 kes Covid-19 menjelang Tahun Baharu Cina?

MALAYSIA dijangka terus berhadapan peningkatan jangkitan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) melepasi angka 200,000 menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Hal demikian berikutan, tiada tanda-tanda penurunan kes walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.

Malah, semalam merupakan kes tertinggi jangkitan Covid-19 di negara ini direkodkan iaitu 4,275 orang disahkan positif wabak berkenaan.

Jika tren catatan kes demikian berterusan, tidak mustahil jumlah tersebut dapat dilepasi memandangkan sekarang keseluruhan kes di negara ini direkodkan sebanyak 180,455 dengan 677 kematian.

“Sekiranya trajektori peningkatan 4,000 kes sehari ini berterusan, Malaysia akan melepasi paras 200,000 kes menjelang penghujung bulan Januari 2021 dan negara kita akan berada dalam kalangan 50 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.

“Kita telah mencatatkan peningkatan yang belum pernah dilihat sebelum ini, melompat 27 kedudukan daripada kedudukan ke-85 dua bulan yang lepas kepada kedudukan ke-58.

“Perkara ini adalah akibat kegagalan Malaysia untuk merangka pendekatan dan strategi yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan Covid-19.”

Demikian kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan menerusi blognya hari ini.

Walau bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut beliau seperti tidak menyedari hakikat penularan jangkitan adalah berpunca daripada sektor perkilangan dan pembinaan.

Sebaliknya, beliau terus mempersoalkan tindakan politik yang diambil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain meminta rakyat Malaysia, anggota kabinet dan golongan VIP mempunyai ‘mentaliti perang’.

“Sekiranya semua rakyat Malaysia, termasuklah para menteri dan golongan VIP, mempunyai “mentaliti perang” ini dan sentiasa beringat mengenai apa yang perlu dilakukannya untuk membantu usaha melawan wabak ini.

“Tidak akan ada layanan berbeza, penyalahgunaan kuasa, penipuan, rasuah, dan tindakan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, agama, ataupun kumpulan orang dalam negara ini.

“Rakyat Malaysia perlu kembali kepada persoalan yang kritikal — Pertama, bilakah Kerajaan Muhyiddin ini akan bertindak dan melancarkan pendekatan dan strategi yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’.

“Untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini, dan kedua, bilakah Parlimen akan dipanggil untuk bersidang untuk menjadi pusat utama dan platform pendekatan dan strategi ini?” soal veteran DAP itu. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button