Ekonomi

Dasar monetari memastikan pertumbuhan mampan

MEMELIHARA kestabilan kewangan negara kekal menjadi keutamaan Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2% selepas hampir dua tahun berada pada kadar terendah 1.75% sejak Julai 2020.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail mengulas, “Jelas, BNM memberi tumpuan untuk memastikan dasar monetari kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. Ini terutamanya melihat kepada kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan yang membolehkan ekonomi menghadapi sebarang kejutan luaran.”

“Memandangkan ekonomi domestik berkembang pada landasan yang lebih kukuh, kami menjangkakan tahap akomodasi monetari akan dikurangkan secara berhati-hati dan beransur-ansur, terutamanya dalam persekitaran kestabilan harga,” tambah Aria.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail

Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad, yang menyelia kredit, pasaran, mudah tunai dan pengurusan operasi risiko berkata, “Melalui pelbagai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan untuk memulihkan ekonomi ketika negara memasuki tahap endemik, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5% pada S1 2022 berbanding 3.6% pada S4 2021.

Ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik kerana aktiviti ekonomi terus pulih seiring dengan pelonggaran langkah pembendungan serta pertumbuhan eksport yang kukuh. Peningkatan itu juga mencerminkan pemulihan dalam pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% (S4 2021: 4.3%), didorong oleh penyertaan buruh dan prospek pendapatan yang lebih baik.”


Mohammad Azam menambah, “Aktiviti ekonomi dijangka bertambah kukuh apabila kesan positif peralihan kepada fasa endemik terus dialami oleh semua sektor ekonomi, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Daripada segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, masing-masing berkembang sebanyak 6.5% dan 6.6%.”

Walau bagaimanapun, tekanan inflasi telah meningkat dengan mendadak berikutan kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tegang dan keadaan permintaan yang kukuh, terutamanya di AS. Beberapa buah bank pusat telah mengetatkan tetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas untuk mengurangkan tekanan inflasi.

Pada Mac 2022, inflasi utama Malaysia tidak berubah pada 2.2% manakala inflasi teras meningkat sehingga 2.0% (Feb: 1.8%). Ini mencerminkan pelarasan harga di tengah-tengah kos yang lebih tinggi dan keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga menjadi lebih ketara khususnya untuk barangan makanan disebabkan faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad

Walaupun dalam keadaan positif pada masa ini, kita tidak boleh mengabaikan risiko penurunan pertumbuhan yang disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meningkat, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berkenaan COVID-19 dan peningkatan turun naik pasaran kewangan.

Aria berkata, “Sebagai peneraju utama Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) di negara ini yang diberi mandat untuk memupuk dan membangunkan PKS di Malaysia, SME Bank akan terus menyokong PKS melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunannya yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan PKS.”

Aria menambah, “Secara khusus, melalui SME Bank Relief Program, pelanggan Bank daripada sektor pelancongan dan pengangkutan awam telah menerima moratorium selama 24 bulan dari Oktober 2020 hingga September 2022 dengan lanjutan tempoh kumulatif / tempoh pembiayaan sehingga 60 bulan. Bantuan diberikan dalam bentuk penangguhan pembayaran prinsipal dan kadar keuntungan pembiayaan. Usaha ini telah banyak membantu usahawan dalam menguruskan keperluan kewangan mereka untuk mengekalkan perniagaan.”

Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM38 bilion kepada lebih 21,000 PKS. Selain bantuan kewangan, sokongan juga diberikan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan keupayaan usahawan oleh anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR). CEDAR telah melatih lebih 62,000 orang peserta melalui pelbagai program pembangunan PKS.

Pelanggan SME Bank yang menghadapi kesukaran pada masa kini digalakkan untuk berhubung terus dengan Pengurus Perhubungan masing-masing untuk mendapatkan bantuan. Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di 03-2603 7700 atau e-mel [email protected]. – SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button