Ekonomi

Kumpulan Carsome lantik Ravi Shankar sebagai Ketua Pegawai Pemasaran

Platform e-dagang kereta terbesar di Asia Tenggara Carsome telah melantik Ravi Shankar Mallavarapu sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) untuk mengetuai kepimpinan Carsome dalam semua aspek berkaitan pemasaran.

Mallavarapu akan menyelia jenama, pemasaran, digital, media sosial, perhubungan awam, pertumbuhan, penyelidikan pasaran dan pengalaman pelanggan.

Beliau juga akan bekerjasama rapat dengan Ketua Pegawai Jenama Carsome Derek Tan dalam jenama, kreatif, pengeluaran dan penajaan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, pelantikan itu merupakan langkah penting untuk terus mengukuhkan pasukan kepimpinan Carsome bagi mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Ravi ialah pemasar yang dipacu data yang mengimbangi kreativiti dengan pelaksanaan cemerlang. Kami sangat teruja memiliki beliau untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dan membantu mewujudkan misi Carsome dalam pasaran, iaitu mencipta standard baharu untuk membeli dan menjual kereta,” tambah Cheng.

Mallavarapu membawa bersamanya pengalaman hampir 15 tahun dalam pemasaran digital, jenama dan pertumbuhan.

Dia menghabiskan enam tahun di pelbagai firma di India, sebelum berpindah ke Malaysia, di mana peranan terakhirnya ialah Ketua Pegawai Pertumbuhan AirAsia.

Di AirAsia, Mallavarapu berjaya membina pasukan pemasaran digital dalaman dan mengubahnya menjadi pasukan pertumbuhan, yang menjalankan iklan untuk membangunkan produk pemasaran, selaras dengan hala tuju perniagaan syarikat untuk beralih daripada syarikat penerbangan kepada aplikasi super.

“Saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Carsome membina ekosistem pemilikan kereta yang dipercayai menggunakan data dan teknologi.

“Sebagai peneraju industri, Carsome berada dalam kedudukan yang baik untuk membawa perubahan kepada tingkah laku pengguna di rantau Asia Tenggara, di mana kebanyakan transaksi kereta dilakukan di luar talian.

“Kami boleh menggerakkan perkara ini dalam talian dengan mewujudkan kepercayaan dan pengalaman pelanggan terbaik di setiap titik sentuhan. Saya tidak sabar untuk menjadikan Carsome sebagai jenama teratas di rantau ini dan menghubungkan titik antara jenama, pemasaran, teknologi dan data,” kata Mallavarapu.

Pelantikan Mallavarapu adalah tepat pada masanya untuk Carsome memperkemas dan mengembangkan usaha pemasaran dan jangkauannya, dengan tumpuan khusus pada cabang perniagaan kepada pengguna Carsome Certified – piawaian industri untuk pembelian kereta dengan jaminan kualiti.

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button