Luar Negara

COVID-19: Thailand sudah ada vaksin, sedia diguna tahun depan

THAILAND, negara pertama yang melaporkan kes COVID-19 di luar China, menjangkakan vaksin yang dibangunkannya sedia untuk digunakan menjelang tahun depan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata vaksin yang dibangunkan dengan kaedah messenger RNA itu menunjukkan keputusan memberangsangkan menerusi ujian ke atas tikus.

“Vaksin itu dijangka diuji ke atas monyet minggu depan.

“Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan agensi berkaitan mempercepatkan proses … harapnya Thailand akan menjadi antara negara pertama yang menghasilkan vaksin yang sedia untuk digunakan,” katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 hari ini.

Vaksin itu dibangunkan secara bersama oleh Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin Universiti Chulalongkorn, Institut Vaksin Kebangsaan dan Jabatan Sains Perubatan.

Dilaporkan setakat ini lebih 100 vaksin berpotensi untuk COVID-19 telah dibangunkan di seluruh dunia.

Sementara itu,  Thaweesilp berkata Thailand kekal merekodkan kes baharu dalam satu digit dan tiada kematian baharu akibat COVID dalam tempoh 24 jam lepas.

Katanya hanya satu kes dilaporkan iaitu cef warga Thai berusia 45 tahun yang baru kembali dari Bahrain.

Kes baharu itu menjadikan kes kumulatif positif COVID-19 di Thailand sebanyak 3,034 kes dengan kematian kekal 56.

Beliau berkata pesakit yang masih dirawat di hospital ialah 90 orang.

Semalam negara itu melaporkan dua kes COVID-19 baharu dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes jangkitan virus berkenaan di negara itu kini berjumlah 3,033 dengan jumlah kematian kekal 56.

Wissanuyothin berkata dua kes itu melibatkan seorang wanita tempatan berumur 36 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun, kedua-dua merupakan anggota keluarga seorang pesakit yang disahkan positif di wilayah selatan Narathiwat.

“Daripada 3,033 kes COVID-19 itu 52 peratus adalah dalam kalangan mereka yang menjalani ujian COVID-19 di hospital manakala 39 peratus lagi adalah mereka yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif,” katanya.

Menurutnya sehingga kini, 2,857 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala 120 masih sedang dirawat.

Sementara itu Thaweesilp mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang menggunakan Thai Chana, aplikasi khusus untuk pengesanan kontak yang memerlukan peniaga serta pengunjung premis perniagaan mendaftar dan mengimbas kod QR sebelum masuk dan keluar dari premis perniagan.

“Kerjasama baik ini akan membuka laluan lebih luas kepada usaha mengembalikan operasi lebih banyak sektor perniagaan.

Thailand memulakan fasa pertama melonggarkan perintah kawalan pergerakan pada 3 Mei lepas yang menyaksikan tiga jenis perniagaan dan premis dibuka kembali kepada orang ramai, manakala fasa kedua bermula pada 17 Mei. – BERNAMA

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button