Luar Negara

Orang ramai teruja lihat kemunculan Putera William dan Putera Harry bersama pasangan

WINDSOR: Orang ramai yang berkumpul di sekitar pekarangan Istana Windsor susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, teruja apabila Putera William dan adik, Putera Harry dengan ditemani pasangan masing-masing, muncul bersama-sama serta beramah mesra dengan mereka, semalam.

Hubungan kedua-dua putera Raja Charles III itu dilaporkan amat rapat selepas kematian ibu mereka, Puteri Diana akibat kemalangan di Paris pada 1997, namun ia dilihat menjadi dingin apabila Putera Harry bersama isteri, Meghan Markle, meninggalkan kehidupan diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).

Pasangan itu pulang ke Britain berikutan kemangkatan mendiang Ratu pada Khamis lalu. Putera Harry bergegas untuk berada di sisi ketika nendanya nazak di Istana Balmoral, Scotland.

Kemunculan bersama mereka di Windsor semalam itu adalah atas jemputan Putera William, menurut seorang jurucakap. Kesemua mereka keluar dari kenderaan sama dengan berpakaian hitam.

Sumber diraja pula menyifatkan perkembangan itu dilihat menunjukkan hubungan dua beradik itu kembali bertaut ketika keluarga mereka berdepan detik sukar kehilangan mendiang Ratu.

Namun, kedua-dua pasangan terbabit dilaporkan tidak banyak berinteraksi antara satu sama lain sepanjang tempoh kemunculan selama kira-kira 40 minit itu.

Mereka sebaliknya meluangkan masa membaca mesej diselit pada jambangan bunga diletakkan orang ramai, selain bersalaman dan beramah mesra dengan ribuan orang yang hadir di sepanjang Long Walk.

Pada satu ketika, seorang wanita dalam khalayak ramai itu dilihat memeluk Meghan. Putera William dilihat beramah mesra dengan kanak-kanak, manakala isterinya, Kate Middleton dan Putera Harry pula tidak ketinggalan menerima bunga serta kata-kata semangat daripada orang ramai. – REUTERS

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button