fbpx
Politik

Coretan Hassan Karim pada malam kerajaan PH hampir kalah di Parlimen

Kejadian ini berlaku pada malam Selasa 26 November 2019 di dalam Dewan Rakyat jam kira-kira 9.30 malam. Ketika itu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Mayarakat (KPWKM) YB Hannah Yeoh (PH Segambut) baru sahaja menggulung anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM2,259,671,400 dan RM213,703,100 untuk perbelanjaan pembangunan Kementerian KPWKM di peringkat jawatankuasa.

2.Dengan tidak semena-mena seperti dirancang ahi-ahli parlimen Barisan Nasional datang mencurah-curah masuk ke dalam Dewan Rakyat sebaik sahaja sebelum Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon memanggil pengundian untuk meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian KPWKM tersebut.

3. Saya yang berada di dalam Dewan mula cemas.YB Tebrau yang duduk di sebelah kiri saya juga cemas.Begitu juga YB Putatan di sebelah kanan saya kekihatan cemas.Kami berpandangan sesama sendiri.Saya lihat YB Bukit Bendera dan YB Jelutong yang duduk sebaris dengan kami mulai gelisah.Kami tak senang duduk.Saya berdiri cuba mengira berapa jumlah ahli parlimen PH yang ada, berapa BN dan berapa PAS.PAS ada tiga orang ahli parlimennya ketika itu.

4.Ketua Pembangkang dari BN bangun dan minta undian dijalankan secara belah bagi.Hampir semua MP BN bangun untuk menunjukkan mereka ada lebih daripada 15 orang untuk menuntut pengundian secara belah bagi.Saya mula gementar.Saya rasa Kerajaan PH akan kalah malam itu.Dalam saat yang genting itu Speaker Tan Sri Mohd Arif masuk.Beliau segera menggantikan Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid (YB Batu Pahat) untuk membolehkan Ahli Parlimen Batu Pahat mengundi.Saya kasihan tegok Datuk Rashid, dengan berjubah dan bersongkok dia segera mengambil tempatnya sebagai ahli parlimen untuk selamatkan Kerajaan PH daripada tewas pengundian pada malam yang mencemaskan itu.

5.Tetapi akhirnya niat jahat, mala fide 25 orang MP BN (23 Umno, 1 MCA dan 1MIC) kalah juga.

6.Saya mulanya mengharap dalam hati 3 orang MP PAS yang ada di dalam Dewan yang sering bercakap nilai-nilai murni- membantu orang miskin, orang kurang upaya OKU, golongan asnaf, warga tua akan menyokong Kerajaan PH pada malam itu untuk meluluskan anggaran belanjawan Kementerian yang menjaga kebajikan orang miskin, kanak-kanak, orang tua, OKU, wanita ibu tunggal yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah.Tetapi ternyata tidak.Saya amat kecewa. 3 ahli parlimen PAS itu mengundi menentang belanjawan untuk menolong orang miskin, orang daif, wanita, kanak-kanak.Jika kita bercakap soal dosa dan pahala, adakah tindakan ahli-ahli parlimen PAS yang bersubahat dengan Umno, MCA dan MIC untuk menggagalkan belanjawan tersebut merupakan satu jihad yang mendapat pahala?

7.Saya lihat persekongkolan Umno, PAS, MCA dan MIC pada malam 26 November itu yang menyerang secara ambush untuk menggagalkan anggaran belanjawan Kerajaan PH untuk kementerian yang menjaga kebajikan masyarakat,kebajikan kanak-kanak, Wanita, OKU dan Golongan Orang tua adalah tidak beretika, politik yang bangkerap dan tidak bermoral.

8.Kalau hendak jatuhkan Kerajaan PH bukan dengan cara seragan hendap yang memalukan itu.Tunggulah pada PRU ke-15 nanti.Apa jadi kalau Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2020 untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak lulus? Dari mana Kerajaan yang ada sekarang hendak cari RM2,473,374,500 untuk bantu rakyat yang amat memerlukan.Ini yang gagal difikirkan baik-baik oleh 25 ahli parlimen BN dan sekutunya 3 ahli parlimen PAS.Bagi saya dua parti politik ini yang bergabung atas nama Muafakat Nasional adalah tidak layak menggunakan istilah itu.Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka pada malam itu mendekati perbuatan anti-nasional.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen PKR-Pasir Gudang

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button