BeritaPolitik

Buku tulisan kelompok liberal G25 diwarta batal pengharamannya

Pembatalan pengharaman buku bertajuk Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy terbitan G25 direkodkan secara rasmi dalam warta kerajaan persekutuan.

Perintah pembatalan itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada 21 November 2019 dan diwartakan pada 10 Disember lalu.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menteri membatalkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemikiran hasil penerbitan Breaking the Silence : Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy yang telah disiarkan dalam warta pada 27 Julai melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini),” kata Muhyiddin dalam perintah pembatalan tersebut.

Buku itu diterbitkan pada Disember 2015 tetapi diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Kementerian Dalam Negeri pada 27 Julai 2017.

Pada 9 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah pengharaman buku tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh G25 untuk mencabar perintah pengharaman itu dan mengetepikan keputusan menteri untuk mengharamkan buku itu.

Beliau dalam keputusannya berkata, menteri mesti menunjukkan asas keputusan untuk mengharamkan buku itu sebagaimana dinyatakan dalam perintah berkenaan.

“Ia tidak disebut dalam afidavit menteri, kecuali mereka merujuk pendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Buku Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy yang dihasilkan oleh kelompok liberal G25 . Kerana kandungan buku itu secara jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati dalam syarak seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lain lagi ia diharam sebelum ini.

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button