fbpx
BeritaPolitik

Amanah tak amanah, Bersatu tak bersatu, muafakat tak muafakat

PILIHAN Raya Kecil Tanjung Piai akhirnya menguak wajah sebenar orang politik di Malaysia.

Barisan Nasional (BN) baru menang dengan majoriti besar meraknya mengalah telah menang pilihan raya umum. Jasa Pas di dalam Muafakat Nasional terus tenggelam. Esoknya pemimpin BN terus berjumpa dengan pemimpin Pakatan Harapan untuk membuat pakatan baharu.

Hishammuddin Husssein terperangkap dalam permainan politik apabila bertemu Azmin Ali sudah tentu ada pakatan lain kerana semua sedia maklum peranan Hisham dalam menjadi broker kepada gerakan kerajaan pintu belakang.

Kenyataan pemimpin Barisan pula tidak menunjukkan mereka menghargai jasa Pas yang sebenarnya sangat banyak membantu kemenangan besar itu. Umum sedia maklum bagaimana istiqomah jentera Pas dalam menjalankan tugas mereka.

Di negara ini yang boleh mengumpul penyokong besar-besaran tanpa perlu dibayar dan disediakan pengangkutan ialah Pas dan PKR sahaja, parti-parti lain belum sampai ke tahap itu. Sebab itulah pada pilihan raya lalu Pakatan Harapan termasuk DAP bersetuju menggunakan logo PKR dan itulah kunci kemenangannya. Jika logo roket digunakan sudah pasti orang Melayu tidak akan memangkah pakatan berkenaan.


MCA jangan bermegah

Di Tanjung Piai pemimpin BN tidak seharusnya bermegah bercerita terutama pemimpin MCA bagaimanapun pengundi Cina telah kembali ke parti itu, kerana hakikatnya majoriti lebih 15,000 itu adalah datang daripada penyokong UMNO dan Pas.

Beberapa hari ini pula kecoh pemimpin Amanah menyalahgunakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan untuk membiayai kempen para pemimpin parti itu di Tanjung Piai. Ratusan bilik hotel didaftar oleh agensi kerajaan itu, tetapi digunakan oleh para pemimpin parti tersebut.

Sibuk berpolitik

Rupa-rupanya bantuan benih padi telah tertangguh selama tiga bulan kepada para pesawah kerana mereka terlalu sibuk berpolitik sehingga petani yang menjadi tanggungjawab disantuni dilupakan.

Bersatu pula terdedah pecah belahnya apabila dikatakan terbahagi kepada dua kem iaitu Tun Mahathir dan kem Muhyiddin. Kekalahan di Tanjung Piai kononnya dijadikan modal untuk mendesak Mahathir turun dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Rakyat makan hati

Remuk redam hati rakyat melihat gelagat orang politik. Di mana dan ke mana hendak diletakkan kepercayaan, bila orang politik terlalu sibuk dengan percaturan politik hingga terlupa mereka ada penyokong yang perlu diberi perhatian.

Tetapi rakyat juga telah menunjukkan isyarat dengan jelas bahawa mereka mempunyai kuasa menjatuhkan kerajaan berusia puluhan tahun dan mereka juga tidak teragak-agak untuk menghumban kerajaan yang baharu berusia setahun jagung jika gagal memenuhi aspirasi mereka.

Aspirasi rakyat

Rakyat mahukan kerajaan yang cekap mentadbir ekonomi negara, cakna dengan kebajikan rakyat dan melaksanakan segala janji yang telah dibuat tanpa memberi pelbagai alasan.

Ditakdirkan kerajaan sekarang ini tumbang, kerajaan yang akan datang akan berdepan dengan tugas yang lebih berat kerana rakyat tidak lagi takut atau bimbang untuk menukar kerajaan. Kesilapan sedikit sahaja sudah cukup untuk rakyat menukarkan kerajaan.

Karma rakyat

Apatah lagi apabila pengundi berusia 18 tahun akan turun tangan, tiada lagi nostalgia dan sebagainya, dan yang mereka pentingkan prestasi semasa yang memenuhi citarasa mereka. Mudah-mudahan pilihan raya akan datang kerajaan yang dipilih lebih amanah, bersatu, bermuafakat, adil dan demokratik.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button