Politik

Isu beras tempatan masih berlarutan: Putra tampil dengan tiga resolusi

MINGGU ini masih lagi berlarutan isu ketiadaan beras tempatan di pasaran yang memberi impak kepada mesyarakat secara umum.

Ahli Dewan Tertinggi Putra merangkap Biro Ekonomi dan Sara Hidup, Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, tinjauan beliau ke beberapa pasar raya seperti Tesco Ampang dan Econsave Desa Pandan semalam menunjukkan kebenaran bahawa pek-pek beras tempatan langsung tiada dalam pasaran.

“Yang ada hanya beras-beras import sahaja yang tersedia dengan lambakan di atas rak-rak di pasaraya berkaitan,” katanya.

Beliau mempersoalkan, adakah perkara ini diketahui oleh pihak kerajaan dan sedia maklum atau masih lagi “menangguk di air yang keruh” dengan berpegang kepada pendirian “masalah teknikal”?

Mohamad Izwan memetik sumber yang boleh dipercayai (mereka yang mengusahakan penanaman padi) menzahirkan rasa pelik, kenapakah beras tempatan kurang di pasaran sedangkan nilai pengeluaran adalah pada purata sebelum ini.

“Sekiranya benar terdapat pengaruh daripada kumpulan-kumpulan tertentu dalam menguruskan atau mengaturkan sebarang aktiviti mengawal barangan sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang tertentu dipasaran, perlu diambil tindakan menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, golongan-golongan kapitalis ini yang berselindung dalam aktiviti-aktiviti perniagaan tertentu tidak mengambil kira dengan krisis hari ini di mana mengambil kesempatan terhadap isu perbentian import beras daripada India.

Oleh itu, kata Mohamad Izwan, kementerian yang berkaitan perlu memberi penjelasan yang komprehensif kepada mesyarakat dengan memberikan tindakan pro-aktif supaya ketiadaan beras tempatan dalam pasaran ini dapat ditangani dengan segera.

Kata Mohamad Izwan, isu ini sama seperti teori domino iaitu satu blok jatuh maka setiap blok seterusnya, satu persatu akan jatuh.

“Sama seperti beras. Dengan kenaikan harga ini, akan memberi impak kepada sektor-sektor lain seperti restoran seterusnya perbelanjaan rakyat.

“Kesan lain adalah inflasi akan naik dengan kecerunan yang tinggi untuk tempoh setahun berbanding lima tahun sebelumnya,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan telah pun ada namun sekiranya kita tidak menganalisis kepada punca kepada kenaikan maka akta berkenaan hanya akan menindas sebelah pihak seperti peruncit dan sebagainya.

“Justeru PUTRA ingin mengemukakan beberapa resolusi kepada permasalahan ketiadan beras tempatan untuk jangka masa panjang dengan menyarankan agar Kementerian berkaitan mengemukakan plan tindak jangka masa pendek dengan menyasarkan hujung bulan September ini, isu ini dapat diselesaikan.

“Hidup rakyat hari ini semakin susah, makin tertekan dengan kos dan sara hidup yang naik. PUTRA mencadangkan untuk diwujudkan system pengurusan dan perjalanan beras yang lebih bersistematik antara proses tuaian dan beras sampai kepada pengguna.

“Bermakna jumlah tuaian mesti sama dengan jumlah beras yang dijual kepada pengguna. Sekiranya ada perbezaan, kita boleh mengesan ke manakah jumlah beras ini disalurkan dan disimpan,” jelasnya.

Selain daripada itu, Mohamad Izwan menambah, PUTRA juga mencadangkan untuk diwujudkan simpanan beras yang berpusat dan dikumpulkan bagi lebihan-lebihan tuaian dalam memastikan ketelusan kepada keterjaminan sumber beras negara sebagai cadangan jangka masa pendek.

Kata Mohamad Izwan lagi, bagi mengekang kenaikan harga benih padi, PUTRA mencadangkan untuk petani-petani serta pengusaha-pengusaha padi ini diberikan kebenaran untuk mengeluarkan benih padi untuk petak sawah mereka sendiri tanpa kebergantungan kepada pengedar sedia ada.

Beliau berkata, dengan dasar liberalisasi ini, ia boleh menjamin kos penanaman beras berada pada paras yang rendah sekiranya ia tidak bergantung kepada penjualan benih padi daripada entiti luar yang dilantik dan diberikan lesen oleh Kerajaan berdasarkan kronisme dan proksi yang terbukti tidak memberikan impak yang baik kepada Masyarakat.

“Dengan tiga resolusi ini, PUTRA yakin ianya akan memberikan manfaat kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada hemat Mohamad Izwan, Menteri Pertanian wajar diganti kerana jelas bukan sahaja gagal bertindak secara berkesan tapi jelas Menteri sendiri mungkin tidak memahami isu beras kerana kekurangan daya intelek dan ilmu kecuali bercakap dari maklumat yang disumbat oleh pegawai-pegawai kementerian. – SM

BACA Isu beras Tok Him tanya “Kementerian Rahmah”, Syed Mokhtar Al Bukhary buat apa?

BACA Kerajaan perlu tangani isu kekurangan beras tempatan dengan segera

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button