Ekonomi

Lanjutkan moratorium pinjaman enam bulan lagi

MORATORIUM pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang akan berakhir pada September 2020, dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Ini akan memberikan ruang yang sangat diperlukan, sekali gus meringankan beban aliran tunai yang pada masa ini dialami oleh PKS dan individu.

Dengan melanjutkan tempoh moratorium itu, ia boleh menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang kini kurang mampu dari segi ekonomi, terutamanya syarikat-syarikat yang bergelut untuk mempertahankan perniagaan masing-masing dan pekerja yang diberhentikan dan kehilangan sumber pendapatan.

“Pada masa yang sama, bagi memastikan ekonomi boleh pulih dengan cepat, moratorium yang dilanjutkan tempoh itu membolehkan PKS memanfaatkan pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Jangka Pendek PENJANA, tanpa membebankan perniagaan dengan kos membayar hutang/pembiayaan, dan secara tidak langsung mampu mengurangkan kos kelangsungan perniagaan mereka,” kata Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai.

Katanya, banyak perniagaan, terutamanya yang terbabit dalam produk dan perkhidmatan tidak penting, hanya memulakan operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (RMCO) pada 10 Jun, 2020.

Syarikat-syarikat pembuatan yang menyokong industri pembinaan dan hospitaliti juga terus merasai impaknya memandangkan sektor-sektor ini hanya boleh menyambung semula operasi selepas syarat-syarat tambahan dan langkah berjaga-jaga serta Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan, kata beliau.

“Sektor-sektor dan perniagaan ini memerlukan masa yang lebih lama untuk menangani kemusnahan COVID-19 dan impak ke atas perniagaan mereka,” kata beliau.

Soh menegaskan yang COVID-19 dan MCO telah memberikan kesan signifikan kepada kedua-dua perdagangan domestik dan eksport – dari pemberhentian sepenuhnya kepada pengurangan secara ketara aktiviti perniagaan yang menyaksikan cabaran sengit terhadap aliran modal dan tunai untuk syarikat-syarikat ini dan pekerjaan untuk pekerja mereka.

Beliau turut menyifatkan Program Subsidi Upah (WSP) yang setakat 6 Julai, 2020, telah memanfaatkan 310,622 majikan membabitkan 2.48 juta pekerja, sebagai petunjuk bahawa syarikat tidak mampu mempertahankan perniagaan dan perlu mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Program WSP yang telah dilanjutkan selama enam bulan, kemungkinan berakhir pada September. Ini bertepatan dengan dengan tempoh tamatnya moratorium pinjaman dan dibimbangi akan memberi masalah berganda ke atas perniagaan, sekali gus menjejaskan daya mampan dan inisiatif untuk memulihkan perniagaan mereka. – BERNAMA

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button