Ekonomi

DAP kecewa moratorium tidak disambung

DAP kecewa dengan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi memandangkan moratorium yang diumumkan sebelum ini akan tamat pada 30 September depan.
Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin langsung tidak memberi penjelasan mengapakah langkah itu tidak diteruskan walaupun ia akan membantu 7.7 juta peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kedegilan dan keengganan kerajaan amat dikesali kerana kos terlibat adalah kecil berbanding manfaat yang akan diperoleh. Pihak bank dilaporkan kerugian RM6.4 bilion sejak pelaksanaan moratorium 6 bulan tersebut.
“Namun, ini merupakan pengorbanan kecil di pihak industri perbankan memandangkan industri tersebut sudah mendapat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya bank tidak rela membiayai kos sebanyak RM6.4 bilion, maka kerajaan persekutuan sepatutnya menanggung kos berkenaan bagi membantu 7.7 juta peminjam dan 245,000 PKS di seluruh negara.
Jelasnya, pihak bank sebenarnya berdepan golongan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana, memandangkan ramai di antara mereka tidak mempunyai wang simpanan.
“Hakikatnya sebelum Covid-19, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia, melaporkan 36% orang dewasa bekerja di Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan walaupun setakat RM1,000.
“Manakala 24% hanya mampu bertahan 3 bulan sahaja dengan simpanan mereka jika diberhentikan kerja. Keadaan kewangan golongan ini dijangka akan bertambah buruk dengan krisis ekonomi Covid-19,” katanya.
Katanya, kos sebanyak RM6.4 bilion itu merupakan jumlah kecil berbanding puluhan bilion ringgit pinjaman tambahan kerajaan di atas apa yang sudah pun diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi Covid-19.
Katanya, pakej rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM295 bilion sekadar indah khabar daripada rupa dan hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu, bukan kepada rakyat biasa dan PKS.
“Tambahan pula, tiada sebarang penambahan diberikan untuk Geran Khas Prihatin (GKP) bernilai RM2.1 bilion di mana RM3,000 diberikan kepada 700,000 PKS.
“Manakala, Program Subsidi Upah juga tidak dilanjutkan sehingga Mac 2021 bagi membantu pekerja Malaysia.
“Dengan peningkatan mendadak kadar pengangguran sehingga 5.3%, dengan 830,000 pekerja menganggur, pelanjutan program ini perlu dilaksanakan sekarang juga untuk menyelamatkan pekerjaan bagi rakyat,” katanya.’
Minggu lepas Muhyiddin mengumumkan lanjutan moratorium bersasar selama 3 bulan untuk memberi lebih banyak masa kepada bank dan PKS memulihkan ekonomi dengan lebih cepat.
Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan, seperti individu yang kehilangan pekerjaan tahun ini.
Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.
Bagi individu yang masih bekerja tetapi terjejas gaji atau pendapatan berkurangan, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.
Langkah itu dijangka memanfaatkan 3 juta individu dan PKS.
(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button