fbpx
Nasional

Kerajaan lanjut moratorium kepada golongan sasar

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN)  melanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dengan memberi fokus khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, individu yang hilang pekerjaan tahun ini dan masih belum dapat pekerjaan baru akan diberikan  moratorium untuk tempoh tiga bulan lagi. Selepas tiga bulan ia mungkin akan dilanjutkan bergantung pada situasi.

Moratorium juga diberikan kepada individu bekerja tetapi terjejas akibat Covid-19 dengan bayaran ansuran bulanan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji dan bergantung kepada jenis pinjaman.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” kata Muhyiddin dalam pengumuman khas sebentar tadi..


Menurut Muhyiddin, bank juga telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.

Bergantung kepada situasi peminjam-peminjam, bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan; atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

“Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli. Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah,” kata Muhyiddin.

Langkah tersebut dijangka akan memanfaatkan 3 juta individu dan PKS.

Sementara itu Muhyiddin berkata, sejak moratorium dikuatkuasakan pada 1 April sehingga 20 Julai lalu, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai  RM38.3 bilion.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima manfaat daripada moratorium ini dengan nilai RM20.7 bilion. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button