fbpx
Nasional

Belia Masjid teruja sertai kayuhan MAIPs Peduli bersama Tuanku Raja Muda

Belia Masjid Negeri Perlis (BMP) teruja berpeluang menyertai program ‘MAIPs Peduli’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menjejaki dan menyantuni asnaf pada petang semalam.

Tambah istimewa lagi apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai sendiri kayuhan berkenaan turut berkenan melibatkan golongan belia daripada beberapa buah masjid berdekatan untuk turut serta menyertai program rutin baginda tersebut.

Kayuhan kali yang ke 34 pada tahun ini sejauh 10km tersebut bermula dan berakhir di perkarangan Sekolah Kebangsaan Pauh dan singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih di kawasan Kg Padang Siding bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berupa wang tunai, bahan makanan asas dan beras fidyah.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Di akhir program, Pengerusi Belia Masjid Perlis (BMP), Anaqei Zakwan Saifol Zairy, melahirkan rasa bersyukur atas peluang yang diberikan untuk turut serta dalam program berkenaan sekaligus dapat melihat dengan lebih dekat sendiri pendekatan penuh bermanfaat yang dilaksanakan MAIPs dalam menjejaki dan menyantuni asnaf di seluruh negeri Perlis.


“Jika sebelum ini saya hanya dapat melihat program turun padang MAIPs melalui paparan media dan laman sosial, tetapi hari ini saya bertuah mendapat pendedahan dan ianya amat baik untuk menjadikan golongan belia berminat melaksanakan aktiviti berfaedah yang dapat membantu golongan yang memerlukan,” ujar beliau.

Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangjap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan meluangkan masa singgah di sebuah perusahaan ternakan kambing dan katering “Pak Teh” yang diusahakan oleh Azaruddin Othman (017-5732325) di Kampung Padang Siding yang aktif menerima tempahan masakan lauk pauk ‘ala Perlis’ berasaskan daging kambing. Beliau adalah salah seorang peserta yang terlibat dengan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Usahawan Bimbingan Risda di negeri ini.

Show More

Related Articles

Back to top button