Nasional

Bantu jemaah lupa bawa sejadah, pelitup muka

JAWATANKUASA masjid dan surau di Wilayah Persekutuan diminta untuk menggunakan pendekatan yang sesuai ketika menegur jemaah yang terlupa membawa sejadah atau pelitup muka ketika hadir untuk melakukan ibadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwah agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamed al-Bakri berkata, beliau percaya isu tersebut yang berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang wabak Covid-19 boleh diselesaikan dengan baik.

“Mungkin pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau boleh sediakan sejadah dan pelitup muka bagi yang terlupa untuk membawanya.

“Kadang-kadang kita tergesa-gesa memang biasa tertinggal barang yang penting. Besar pahalanya bagi mereka yang memudahkan urusan umat Islam lain untuk beribadah,” kata Zulkifli.

Beliau turut mencadangkan agar pihak surau dan masjid di zon kuning dan hijau menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan, pemandu e-hailing dan golongan musafir untuk menunaikan solat.


Selain itu Zulkifli turut menyarankan agar pihak pengurusan di Rehat dan Rawat dan pusat membeli-belah di zon kuning membuka surau dengan SOP yang ketat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas hari ini berkaitan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 2 November lalu.

Keputusan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai peluasan jemaah di masjid dan surat serta majlis akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat.

Menurutnya, jemaah solat Jumaat diperluahkan sehingga satu pertiga kapasiti dewan solat bagi zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan dan jemaah tidak melebihi 30 orang bagi solat fardu.

Bagi zon merah hanya 12 jemaah dibenarkan bagi solat Jumaat dan tiga orang bagi solat fardu.

Sementara untuk majlis akad nikah jumlah jemputan tidak melebihi 30 orang tidak termasuk jurufoto.

Majlis pernikahan berlangsung di pejabat agama dan masjid terpilih yang telah ditetapkan. SOP tersebut berkuatkuasa esok.-SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button