Ekonomi

Bank Rakyat rai pelanggan perbankan perniagaan sempena ulang tahun ke-69

BANK RAKYAT semalam meraikan pelanggan segmen Perbankan Perniagaannya menerusi penganjuran majlis minum petang yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat bersempena dengan ulang tahun Bank berkenaan yang ke-69 menjelang 28 September ini.

Dalam ucapannya, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, “Tujuan majlis ini diadakan adalah bagi merapatkan lagi silaturahim antara Bank Rakyat dengan pelanggan khususnya daripada segmen Perbankan Perniagaan, di samping sebagai tanda penghargaan Bank kepada pelanggan yang sentiasa menyokong produk dan perkhidmatannya saban tahun.

Sokongan yang diberikan termasuklah dari segi urusan pentadbiran Bank, pembiayaan, simpanan serta hubungan baik dari segi moral kedua-dua belah pihak,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Bank Rakyat turut memperkenalkan program pembiayaannya yang terbaharu iaitu program pembiayaan BRPlus-i sebagai inisiatifnya dalam mendukung pembangunan usahawan negara terutamanya daripada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi serta usahawan wanita bagi memajukan perniagaan mereka.

Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak

Menurut Irwan, menerusi program pembiayaan BRPlus-i ini Bank Rakyat menawarkan had pembiayaan istimewa sehingga RM1 juta dengan kadar keuntungan kompetitif melalui peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM500 juta. Di samping itu, pakej khas BRPlus-i BizLady yang dibangunkan khusus untuk usahawan wanita turut disediakan dengan ciri produk dan tawaran yang sama.

Irwan turut memaklumkan bahawa Bank Rakyat menawarkan struktur hadiah baharu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta dengan hadiah utama bernilai RM1 juta kepada pelanggan bertuah bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025. Peningkatan jumlah keseluruhan hadiah kepada RM5.8 juta berbanding RM1 juta yang ditawarkan sebelum ini adalah bagi memastikan lebih ramai lagi pelanggan berpeluang memenangi kategori cabutan bertuah yang diadakan sepanjang tempoh berkenaan.

Pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sama ada pelanggan baharu atau sedia ada berpeluang untuk memenangi tujuh kategori cabutan termasuk cabutan bulanan (kategori umum dan peringkat negeri), suku tahun, setengah tahun, cabutan ulang tahun Bank Rakyat, cabutan perayaan khas, cabutan hadiah utama dan pelbagai cabutan istimewa. Lebih menarik lagi, pelanggan juga layak untuk menang lebih daripada satu kategori dalam satu masa.

Sejak pelancaran Akaun Pelaburan-i Rizq Plus ini, lebih 1,500 pemenang bertuah telah menerima cabutan hadiah tunai keseluruhan bernilai RM1 juta. Selain daripada hadiah wang tunai, di bawah struktur hadiah baru Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, pelanggan turut berpeluang untuk membawa pulang hadiah berupa emas serta peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah sehingga RM100,000.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, hampir 20,000 pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus telah didaftarkan dengan jumlah pelaburan lebih RM100 juta. Produk pelaburan ini mula diperkenalkan pada Julai 2022 dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan baki minimum akaun serendah RM50 serta anggaran pulangan pelaburan yang kompetitif.

Produk ini disediakan bagi membolehkan pelanggan mewujudkan portfolio pelaburan berasingan sebagai simpanan sokongan dan saluran pendapatan alternatif serta bukan hanya bergantung pada caruman wajib skim persaraan sedia ada sahaja.

Barisan pemenang cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bagi bulan Ogos dan September termasuk Maimunah Din yang memenangi kategori cabutan istimewa berjumlah RM100,000, Mohamad Rizal Mohamad Alway pemenang cabutan bulanan sebanyak RM10,000, Badaria Muhammat pemenang cabutan bulanan berjumlah RM5,000, Khairul Azman Othman pemenang cabutan negeri berjumlah RM10,000 serta Bibi Hazrina Alli Rahman yang merupakan pemenang kedua-dua kategori cabutan bulanan dan negeri sebanyak RM20,000 dan RM5,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, “Di samping sebagai tanda keprihatinan dan ihsan terhadap kesejahteraan pelanggan, ganjaran dan hadiah lumayan yang ditawarkan ini adalah bagi menghargai keyakinan dan sokongan berterusan pelanggan kepada produk dan perkhidmatan Bank Rakyat selama ini yang mana dilihat sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

“Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat berhubung Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menerusi laman web dan media sosial rasmi Bank Rakyat atau menghubungi Pusat Panggilan di talian 1-300-80-5454 serta mengunjungi cawangan yang berdekatan,” tambah beliau.

Sementara itu, sesi penyampaian hadiah turut diadakan bagi Kempen Fitrah (kategori PMKS) yang telah berlangsung pada 7 Mac sehingga 31 Mei lalu yang mana hadiah utama berupa kereta Toyota Hilux Double Cab 2.4E AT 4WD diserahkan kepada pemenang utama, Akie Group Sdn Bhd. Selain itu, kempen ini turut menawarkan wang tunai RM5,000 kepada 20 orang pemenang bagi kategori PKS dan wang tunai RM1,000 kepada 100 pemenang kategori usahawan mikro. Kempen Fitrah ini merupakan kempen istimewa anjuran Bank Rakyat bersempena dengan sambutan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Di samping itu, sesi cabutan bertuah khas Akaun Pelaburan-i Rizq Plus turut diadakan pada majlis berkenaan bagi menghargai peranan pengamal media yang sentiasa memberikan sokongan positif kepada Bank Rakyat selama ia beroperasi. – SM 

Artikel berkaitan > Hadiah keseluruhan RM5.8 juta menanti pelanggan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button