Nasional

Bangkai beruang matahari ditemui dalam parit

SEEKOR beruang matahari jantan ditemui mati dalam parit tepi jalan di Jalan Ulu Bendul, Bukit Putus, dipercayai dilanggar sebuah kereta malam tadi.

Dalam kejadian itu, dilaporkan tiga sekawan beruang matahari dikatakan melintas laluan itu namun seekor daripadanya dilanggar oleh sebuah kereta jenis Volkswagen.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Mohd Syazwan Saidy mengatakan satu pasukan dengan lima lelaki telah bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta Volkswagen dan seekor beruang matahari pada pukul 8.45 malam dan tiba di lokasi pada pukul 9.10 malam.

“Pemandu dan penumpang kereta itu adalah dua lelaki yang berusia 41 dan 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Maklumat awal mendapati terdapat tiga ekor beruang matahari berkeliaran semasa kemalangan itu, tetapi hanya seekor ditemui mati di dalam parit,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli mengatakan beruang itu mati akibat kecederaan selepas dilanggar kereta.

“Beruang itu ditemui dalam keadaan parah dengan kecederaan di bahagian muka dan badan.

“Ia dipercayai telah tersesat dari habitatnya, tetapi kawasan yang beruang itu ditemui mati sebenarnya adalah antara kawasan habitat hidupan liar kerana berdekatan dengan Hutan Simpan Angsi dan Hutan Simpan Berembun,” katanya.

Ermi turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan berhampiran hutan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa haiwan liar yang berkeliaran atau hilang. – SM

(Visited 356 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button