Nasional

Banduan ditahan semula selepas lima jam larikan diri

SEORANG banduan lelaki melarikan diri dari sebuah Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) di Nilai dan hanya sempat merasai kebebasan lebih kurang lima jam sebelum ditahan semula, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Abd Rahman berkata, pihak polis berjaya menahan semula banduan yang berusia 29 tahun itu di sebuah stesen minyak di daerah itu selepas menerima laporan pada pukul 12.54 tengah hari.

“Susulan daripada laporan tersebut, polis dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Nilai telah melancarkan satu operasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan untuk mengesan lelaki itu di sekitar kawasan berhampiran.

“Pada pukul 5.15 petang iaitu lima jam selepas laporan diterima, kami berjaya menahannya di sebuah stesen minyak yang terletak empat kilometer dari PRP tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fazley berkata, banduan itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada tahun 2019 atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Dia kemudiannya ditempatkan PRP tersebut untuk tujuan pemulihan selepas menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Kajang, Selangor,” katanya.

Menurut Fazley, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian membiarkan seseorang lari dari pengurungan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“IPD Nilai turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya banduan itu,” katanya. -SM

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button