Nasionalpilihan

Baikpulih tujuh klinik kesihatan daif di Melaka siap Oktober ini

Sebanyak tujuh klinik kesihatan (KK) yang diklasifikasikan sebagai daif berusia lebih 30 tahun di negeri ini sedang dibaik pulih melibatkan kos sebanyak RM3.1 juta.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKN), Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kesemua klinik berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini melainkan Klinik Desa Durian Daun di Alor Gajah.

Menurutnya, kerja-kerja membaikpulih kesemua klinik berkenaan sedang rancak berjalan dan dijangka menjelang akhir Oktober akan siap sepenuhnya.

Beliau berkata, klinik yang sedang dibaikpulih ialah KK Peringgit di Melaka Tengah serta tiga KK di Jasin iaitu Felda Bukit Senggeh, Kemendor dan Umbai.

Ujarnya, tiga lagi KK di Alor Gajah membabitkan pekan Alor Gajah, Durian Daun dan Durian Tunggal.

“Kesemua tujuh projek yang sedang dilaksanakan ini setakat ini berjalan lancar dan mengikut jadual melainkan di Durian Daun, Alor Gajah. Kita jangka semua dijangka siap sepenuhnya Oktober ini.

“Kita ada senarai lagi klinik daif yang perlu dibaikpulih termasuk kuarters kakitangan. Senarai ini akan kita kemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika ada peruntukan lagi,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan lawatan tapak bagi pembinaan bangunan tambahan di Klinik Kesihatan Bukit Rambai di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Rusdi berkata, JKN juga ada mengemukakan cadangan kepada KKM memohon peruntukan bagi pembinaan klinik kesihatan baharu iaitu di Sungai Rambai, Bukit Katil, Bukit Rambai, Cheng, Simpang Ampat dan Padang Sebang.

Bagaimanapun katanya, permohonan tersebut tidak mengikut keutamaan sebaliknya ia bergantung kepada kepadatan penduduk pada masa itu.

Selain itu menurutnya, dua projek menaiktaraf di Hospital Melaka sedang rancak berjalan manakala setiap satu pula di Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button