Nasionalpilihan

Baik pulih rumah Munshi Abdullah November ini

Kerja-kerja membaik pulih rumah menyimpan khazanah milik bapa kesusasteraan Melayu Moden, Munshi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah Abdul Kadir di Kampung Ketek, Jonker Walk dekat sini akan bermula November ini.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Dr. Mohd. Nasruddin Rahman berkata, peruntukan sebanyak RM500,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri melalui caj warisan awal tahun ini.

Menurutnya, selain itu Perzim juga turut menerima peruntukan sebanyak RM250,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Peruntukan untuk baik pulih rumah berkenaan telah diluluskan awal tahun ini tetapi kerja-kerja hanya bermula November ini.

“Kelewatan berpunca kerana beberapa prosedur perlu diselesaikan termasuk menilai kerosakan rumah berkenaan yang dibuat dari bahan kayu.

“Selain itu, Perzim perlu mendapat kebenaran daripada waris Munshi Abdullah yang tinggal di rumah berkenaan serta penyelarasan lain yang perlu dibuat,” ujarnya di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan SM sebelum ini mengenai rumah menyimpan khazanah milik bapa kesuasteraan Melayu Moden, Munshi Abdullah di Kampung Ketek, Jonker Walk dekat sini terbiar dan makin usang.

Lebih menyedihkan ruang dalam rumah yang dibangunkan oleh Perzim dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan peruntukan RM1 juta sangat daif selain rosak teruk dan terdapat atap sudah roboh.

Mengulas lanjut Mohd. Nasruddin berkata, Perzim akan memastikan kerja-kerja baik pulih rumah berkenaan dapat disiapkan sebelum hujung Disember ini.

Menurutnya, rumah menyimpan khazanah bapa kesuasteraan Melayu Moden perlu disiapkan secepat mungkin menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Beliau berkata, Perzim tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memastikan semua khazanah peninggalan sejarah yang terdapat di negeri ini diabaikan.

Jelasnya, kelewatan kerja-kerja membaikpulih kadang-kadang berpunca daripada kelewatan peruntukan yang dipohon selain beberapa prosedur perlu dipatuhi. – SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button